Realtime website trackingweb stats

Letupan di bandar Gaza akibat serangan udara tentera Israel awal pagi tadi

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Tentera Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza awal pagi tadi, dengan mendakwa sebagai tindak balas selepas kumpulan Islam di wilayah itu menghantar belon api ke selatan Israel, kata sumber keselamatan dan saksi.

Letupan di bandar Gaza akibat serangan udara tentera Israel awal pagi tadi. – Foto AFP

Menurut sumber Palestin, tentera udara Israel menyasarkan di bandar Khan Younes, di timur Gaza.

Seorang wartawan foto AFP di Khan Younes melihat letupan itu.

Pasukan Pertahanan Israel berkata, ia sebagai tindak balas terhadap ‘belon api’ dan jet pejuang tentera rejim itu menyerang markas tentera milik pejuang Hamas dan menyasarkan kemudahan dan tempat pertemuan untuk operasi pejuang itu di Khan Younes.

Serangan tentera Israel itu adalah yang pertama terhadap Gaza sejak kerajaan gabungan baharu mengambil alih pemerintahan selepas menggulingkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Gambar: Pemuda Palestin melancarkan belon pembakar api dari Gaza ke arah penempatan penjajah.

Belon api itu dikatakan oleh pasukan bomba tempatan menyebabkan sekitar 20 kebakaran di selatan Israel, selepas kerajaan baharu Israel memberi lampu hijau kepada nasionalis Yahudi untuk mengadakan perarakan kontroversi melalui Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Sebelum ini, perarakan itu yang dijadualkan berlangsung pada Khamis lalu, namun ditunda susulan bantahan polis Israel terhadap laluan terbabit serta amaran daripada Hamas.

Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh, semalam turut mengecam perarakan dikenali sebagai ‘March of Flags’ itu yang disifatkan sebagai provokasi dan menimbulkan kebimbangan akan ketegangan tercetus semula dengan Palestin.