Apakah hubungan antara pembentukan Shah Alam dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur?
Mengapa Kuala Lumpur dipilih sebagai wilayah persekutuan dan bukan diisytihar sebagai ibu negeri Selangor?
Peranan negeri Selangor dalam pembentukan dan perkembangan Malaysia adalah sangat penting, terutama kerana pembangunan Selangor yang mendahului negeri-negeri lain.
Kuala Lumpur telah menjadi pusat pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu serta pusat kegiatan perdagangan, perniagaan, dan perbankan sejak sebelum ia diisytiharkan sebagai wilayah persekutuan.
Pada asalnya, Bangunan Sultan Abdul Aziz Samad yang terletak berhadapan dengan Dataran Merdeka merupakan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
Namun, apabila Almarhum DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menandatangani Perjanjian Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974 untuk penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor tidak lagi mentadbir Kuala Lumpur.
Pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan, dan Kuala Lumpur menjadi ibu negara Malaysia.
Kehilangan pusat pentadbiran yang pesat di Selangor menyebabkan kerajaan negeri mencari kawasan baru untuk dibangunkan sebagai pusat pentadbiran negeri.
Kawasan yang terletak kira-kira 25 km ke barat daya Kuala Lumpur, dikenali sebagai Sungai Renggam, dipilih kerana lokasinya yang strategik untuk dijadikan pusat pentadbiran.
Lokasi ini termasuk kawasan Batu Tiga yang telah menjadi pusat perladangan tanaman kelapa sawit dan getah sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.
Kemudian, Sultan Selangor berkenan menamakan semula Sungai Renggam sebagai Shah Alam sebagai penghormatan kepada Almarhum ayahanda baginda, DYMM Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.
Inilah kisah di sebalik pembentukan Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor. Semoga informasi ini bermanfaat.
BACA: Resepi Kuih Lopes Gula Melaka, tiada daun pisang pun dijamin menjadi!