Realtime website trackingweb stats

Teresa Kok didakwa tidak sokong pensijilan halal, sekali ini respon tuan badan

Oleh ADINDA

Selepas kenyataan tegas oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Teresa Kok mendakwa kenyataannya mengenai pensijilan halal telah menyebabkan banyak salah faham dalam kalangan sesetengah pihak.

Menurutnya, akibat daripada kenyataan tersebut, beliau dituduh tidak memahami Islam dan tidak menyokong pensijilan halal.

Dalam satu kenyataan terkini, Teresa menegaskan bahawa beliau menyokong usaha kerajaan,

khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dalam mempromosikan pensijilan halal untuk industri makanan dan minuman.

“Standard yang digunakan oleh Jakim dalam pensijilan halal adalah antara yang tertinggi di dunia.

Teresa Kok didakwa tidak sokong pensijilan halal, sekali ini respon tuan badan

Saya telah mempromosikan pensijilan halal Malaysia sejak tahun 2008 ketika saya memegang jawatan Exco Perdagangan, Industri dan Pelaburan di Selangor hingga hari ini.

“Dalam banyak pertemuan dengan rombongan perniagaan dan agensi kerajaan asing, salah satu agenda yang saya kemukakan adalah untuk meminta mereka mendapatkan pensijilan halal dari Malaysia jika mereka ingin mengeksport makanan ke Malaysia atau negara-negara Islam yang lain,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Ketika diminta mengulas kenyataan Teresa, Perdana Menteri berkata, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu tidak membantu kerajaan untuk menjernihkan keadaan.

“Kita perlu menjaga sentimen umat Islam dan bukan Islam. Cara Teresa Kok adalah untuk berbincang secara baik terlebih dahulu, bukan dengan menunjukkan kehebatan masing-masing.

“Negara kita kini berada dalam keadaan baik, politik stabil, penghargaan dunia baik, ekonomi meningkat. Jadi, mengapa perlu timbulkan isu-isu yang boleh merosakkan?” kata Anwar semasa majlis Perasmian Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Arah Selatan hari ini.

Sebelumnya, Teresa telah meminta kerajaan mengkaji semula cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang mewajibkan restoran yang tidak menjual daging babi dan alkohol untuk memperoleh sijil halal. Teresa berpendapat bahawa cadangan ini telah menyebabkan banyak salah faham.

Naib Presiden DAP itu menjelaskan bahawa sebagai ahli Parlimen, adalah tanggungjawabnya untuk mengutarakan masalah dan suara hati rakyat pelbagai kaum, oleh itu beliau meminta kerajaan mengkaji semula cadangan tersebut.

“Kenyataan saya tidak sekali-kali bermaksud untuk mempersoalkan pensijilan halal, peranan Jakim, atau tidak menghormati agama Islam,” tambahnya, sambil menyatakan bahawa beliau mengambil maklum tentang respons Perdana Menteri terhadap kenyataannya.

Namun, Teresa menyatakan bahawa beliau tidak berpeluang menyampaikan pandangannya melalui saluran dalaman kerana cadangan itu dibangkitkan oleh Mohd Na’im dalam forum terbuka tanpa libat-urus dengan wakil rakyat terlebih dahulu.

“Oleh itu, saya tidak mempunyai peluang untuk menyampaikan pandangan melalui saluran dalaman,” dakwanya.

Dalam kenyataan itu, Teresa juga menyatakan bahawa beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan mengenai kenyataannya dalam isu tersebut.

BACA: Rupanya ada cara nak masak nasi putih bagi rasa sedap dan berlemak