Apabila anak-anak dewasa dan sibuk mengejar kerjaya di ibu kota, mereka sering meninggalkan orang tua di kampung halaman bersendirian.
Hanya ketika musim perayaan atau majlis tertentu, barulah mereka pulang untuk memeriahkan rumah ibu bapa.
Melalui satu hantaran di laman Thread, seorang pemuda berkongsi cara licik ibunya untuk mengumpulkan anak-anak di rumah.
Menurut pemuda tersebut, ibunya secara mengejut bertanya tentang cara mengeluarkan wang persaraan dari akaun bank yang agak besar.
“Mak ada mesej dalam grup famili. Dia tanya, salam anak-anak, macam mana nak keluarkan duit pencen daripada bank? Katanya ada lebih kurang RM364,000 dalam akaun tu.
“Yang kelakarnya, selepas mak cakap macam tu, terus semua jadi rajin nak balik kampung. Adik dari Perlis pun gerak serentak. Masing-masing siap bawa makanan macam potluck.
“Lepas makan-makan sekeluarga, kakak sulung tanya dekat mak, duit arwah abah ada lagi ke tak keluarkan?” kenang pemuda tersebut.
Namun, jawapan si ibu ternyata mengecewakan dan menunjukkan bahawa mereka adik-beradik telah termakan umpan.
“Mak jawab, bukanlah, yang mak tanya tu mewakili jiran sebelah sebab dia nak keluarkan duit daripada akaun suami dia,” cerita pemuda itu.
Memang itu sahaja cara si ibu untuk memanggil anak-anak pulang ke kampung, kalau tidak memang susah nak nampak muka mereka.
Lebih mengecewakan apabila si ibu memberitahu bahawa duit persaraan arwah bapa mereka sudah lama ‘kering’ digunakan.
“Mak dengan berseloroh cakap, duit arwah abah kau dah lama habis. Kami semua pun terdiam,” katanya.