Realtime website trackingweb stats

Lelaki menyesal jual buah pinggang demi iPhone, terpaksa dialisis sampai tua

Oleh ADINDA

Salah satu jenaka yang sering kita dengar di media sosial setiap kali iPhone baru dilancarkan adalah: “Kau kena jual ginjal kalau nak beli iPhone baru.”

Jenaka ini menggambarkan betapa mahalnya harga produk Apple sehingga seseorang terpaksa menjual organ untuk memilikinya.

Namun, apa yang kita anggap lawak itu benar-benar berlaku. Ada orang yang sanggup menjual organ semata-mata untuk membeli iPhone baru.

Menurut laporan Oriental Daily, seorang remaja bernama Xiao Wang sanggup menjual buah pinggangnya untuk membeli sebuah iPhone 4s kira-kira 9 tahun lalu.

Ketika iPhone 4S baru dilancarkan, Xiao Wang yang ketika itu berusia 17 tahun sangat teruja untuk memiliki peranti tersebut.

Lelaki menyesal jual buah pinggang demi iPhone, terpaksa dialisis sampai tua

Pada masa itu, iPhone 4S dianggap sebagai peranti “wajib milik” di kalangan pelajar sekolahnya, dan mereka yang memilikinya mendapat layanan istimewa.

Walaupun keinginan Xiao Wang untuk memiliki iPhone 4S sangat kuat, dia sedar bahawa kewangan keluarganya tidak mencukupi. Dia mencari pelbagai cara untuk mendapatkan wang tambahan sehingga akhirnya dia mengetahui tentang aktiviti “pembedahan haram” yang membolehkan dia menjual buah pinggang untuk mendapatkan wang tunai.

Diberitahu bahawa manusia hanya memerlukan satu buah pinggang untuk hidup, Xiao Wang bersetuju untuk menjual satu daripada buah pinggangnya dengan harga $3,200 (RM13,440), jumlah yang lebih dari cukup untuk membeli iPhone 4S.

Sebelum menjalani pembedahan, Xiao Wang diberitahu bahawa dia boleh menjalani hidup secara normal seminggu selepas pembedahan tersebut. Namun, tanpa pengetahuan remaja itu, pembedahan yang dijalankan tidak disanitasi dengan baik, mengakibatkan jangkitan pada luka pembedahan.

Lebih malang lagi, ibu bapa Xiao Wang tidak tahu tentang pembedahan itu sehingga mereka hanya mengetahuinya selepas anak mereka jatuh sakit akibat jangkitan kuman.

Apabila Xiao Wang mendapatkan rawatan di hospital, fungsi buah pinggang tunggalnya semakin merosot, menyebabkan dia terpaksa terlantar di atas katil dan menambah beban kewangan keluarganya yang terpaksa menanggung kos dialisis dan rawatan lain.

Akhirnya, keluarga remaja tersebut mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital haram itu dan berjaya mendapat pampasan dari mahkamah. Menurut laporan chinapress.com.my, Xiao Wang diberikan pampasan berjumlah RM180,000.

Selepas sembilan tahun berlalu, iPhone 4S kini sudah tidak bernilai, malah sudah tidak dijual lagi di kedai-kedai.

Namun, hingga ke hari ini, Xiao Wang yang kini berusia 26 tahun terpaksa meneruskan hidup bergantung kepada rawatan dialisis dan ubat-ubatan lain.

BACA: Pening cari whatsapp lama tak jumpa? Ini caranya, pengguna iPhone je boleh buat