Masa adalah elemen alam yang tidak pernah berhenti, dan manusia sanggup melakukan apa saja untuk menguruskan masa.
Dengan adanya masa, kitaran kehidupan setiap makhluk berfungsi dengan teratur, bergerak dari hari ke hari, minggu ke minggu, tahun ke tahun, dan seterusnya
Istilah seperti ‘second’ (saat), ‘minute’ (minit), ‘hour’ (jam), ‘day’ (hari), ‘week’ (minggu), dan ‘year’ (tahun) adalah istilah yang sering kita sebut dalam kehidupan seharian.
Pernahkah anda terfikir mengapa kita menggunakan istilah-istilah tersebut untuk mengukur waktu? Mari kita ketahui lebih lanjut.
Kenapa ‘Second’?
Konsep saat diperkenalkan sejak zaman Babylon kuno, di mana orang Babylon membahagikan tempoh waktu berdasarkan siang dan malam kepada dua zon 12 jam yang sama, dengan setiap jam terdiri daripada 60 minit. Sistem nombor Babylon menggunakan kaedah kiraan asas 12 dan 60.
Perkataan ‘second’ berasal dari bahasa Latin “secundus,” yang bermaksud “mengikuti” atau “seterusnya.” Istilah ini merujuk kepada kiraan selepas jam dan minit. Oleh sebab itu, ‘second’ juga digunakan untuk merujuk kepada tempat kedua dalam susunan.
Bagaimana Minit Diistilahkan?
Istilah ‘minit’ berasal dari sistem Babylon yang mewakili 1/60 daripada satu jam, yang merupakan 1/12 daripada satu hari, menjadikannya unit yang lebih kecil daripada jam dan hari. Perkataan ‘minit’ berasal dari bahasa Latin “minutus,” yang bermaksud “kecil” atau “pendek,” menunjukkan pembahagian masa yang kecil dalam satu jam.
Kenapa Jam Dipanggil ‘Hour’?
Sebelum ‘hour’ digunakan untuk mewakili 60 minit, istilah ini merujuk kepada tempoh waktu yang lebih umum dan boleh mewakili tempoh seperti satu musim. Istilah Yunani ‘hora’ digunakan untuk merujuk kepada pembahagian hari kepada 12 bahagian, berdasarkan pembahagian waktu oleh orang Babylon.
Bagaimana ‘Days’ dan ‘Weeks’ Ditetapkan?
Sistem yang digunakan oleh orang Babylon juga mempengaruhi pembahagian hari. Mereka mengenal pasti tujuh objek di langit (matahari, bulan, planet Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari, dan Zuhal) yang digunakan dalam kalendar lunar. Setiap kitaran bulan adalah sekitar 28 atau 29 hari dan dibahagikan kepada empat bahagian yang sama menghasilkan tujuh hari.
Istilah ‘days’ berasal dari bahasa Inggeris lama ‘dages,’ merujuk kepada waktu matahari berada di atas horizon. Sistem minggu tujuh hari ini mula tersebar dan mempengaruhi tamadun lain, dengan beberapa tamadun awal seperti Mesir menggunakan satu minggu 10 hari dan Rom dengan minggu lapan hari. Akhirnya, sistem tujuh hari seminggu menjadi standard.
Istilah ‘week’ datang daripada bahasa Eropah lama ‘weik,’ yang telah diubah suai menjadi ‘week’ dalam bahasa Inggeris moden.
Apa Pula Kisah Tahun atau ‘Year’?
Istilah ‘year’ berasal dari pemahaman masyarakat terdahulu mengenai putaran bumi mengorbit matahari. Istilah ini digunakan untuk merujuk kepada satu kitaran penuh musim yang diperhatikan oleh pengkaji terdahulu, dilabelkan sebagai ‘yer.’ Istilah ini berkembang melalui tamadun berbeza, membentuk istilah seperti ‘yjar,’ ‘jaar,’ ‘ger,’ dan ‘gear.’ Istilah ‘year’ dalam bahasa Inggeris moden datang daripada ‘gear’ dalam bahasa Inggeris lama.