Pemilik kereta pastinya merasa kesal apabila kenderaan yang dibeli sudah mula mengalami kerosakkan walaupun baru sahaja ‘keluar kedai’.
Dengan plastik kerusi belum lagi dicabut, kebanyakkan pemilik lebih memilih untuk menyalahkan kualiti kereta berbanding mencari dahulu punca sebenar kerosakan itu.
Memang tidak dinafikan, wujud masalah pada kenderaan keluaran terbaharu yang dilaporkan berpunca daripada kesilapan teknikal di kilang ataupun pihak pengeluar.
Namun begitu terdapat juga faktor-faktor lain yang menjadi penyumbang kepada kerosakan kereta ini termasuklah tabiat pemilik melibatkan cara pemanduan salah.
Perlu diubah dengan secepat mungkin, berikut kami kongsikan tabiat pemanduan salah yang perlu dielakkan berdasarkan ilmu ‘diturunkan’ seorang mekanik di TikTok.
1. Isi minyak apabila lampu kuning menyala
Sekiranya pemilik gemar mengisi bahan bakar petrol ketika lampu merah menyala, pam minyak akan menyedut segala kekotoran yang melekat pada dasar tangki.
Kekotoran yang disedut pam minyak ini akan menyebabkan salur minyak tersumbat seterusnya menjadi punca kerosakan dan memendekkan jangka hayat kenderaan.
2. Merehatkan tangan pada gear
Tahukah anda, perbuatan meletakkan atau merehatkan tangan pada gear dengan sengaja ketika sedang memandu boleh menyebabkan kerosakan kepada kereta.
Hal ini kerana, perbuatan tersebut boleh menambahkan beban pada gearbox kereta lalu menyukarkan proses untuk menukar gear malah boleh tersangkut.
3. Selalu tekan brek
Tabiat ini sangat berbahaya kerana ia mampu membuatkan sistem brek terlampau panas (overheating). Seterusnya, ‘brake pad’ dan ‘brake disc’ akan cepat menipis.
4. Tidak memanaskan enjin kereta
Sebelum memulakan pemanduan, pemilik perlu memanaskan enjin terlebih dahulu selama satu hingga dua minit terutama pada waktu sejuk atau ketika kenderaan jarang digunakan.
Proses pemanasan dijangka bakal membantu mengagihkan minyak ke seluruh enjin. Suhu bersesuaian pada blok dan minyak enjin juga akan ‘diset’ semula secara semula jadi.
5. Anggap bunyi aneh perkara biasa
Segera buat pemeriksaan sekiranya kenderaan anda mula mengeluarkan bunyi pelik. Jangan bertangguh dan ambil remeh mengenainya.
6. Sering bawa muatan berlebihan
Kereta yang memiliki muatan berlebihan akan menyebabkan ia menanggung tekanan berat seterusnya mengganggu aspek pemanduan dan keadaan kenderaan anda.
Tabiat ini juga akan menjadi punca brek gagal berfungsi dengan betul selain menyebabkan penggunaan bahan api yang banyak.
Oleh yang demikian, jangan lupa untuk melakukan servis secara berkala supaya kerosakkan pada kenderaan baharu anda dapat dielakkan!
Baca juga: Berebut kutip ‘ulat kayangan’ atas jalan di Sarawak, harga sama mahal dengan daging wagyu