Sebuah masjid telah berjaya mencuri tumpuan ramai setelah memuat naik iklan kerja kosong bagi jawatan Imam di laman Instagram mereka.
Mana tidaknya, pihak pengurusan rumah ibadat umat Islam itu menawarkan habuan tinggi untuk jawatan Imam sepenuh masa iaitu mencecah lebih RM220,000 setahun.
Bukan cerita rekaan, tawaran lumayan dari pengurusan masjid yang terletak di Liverpool, England itu dikongsikan menerusi satu hantaran di akaun Instagram, @alrahmamosque.
Gaji yang ditawarkan untuk jawatan Imam di Masjid Al-Rahma mencecah £30,000 hingga £38,0000 pound British bagi setahun (RM176,596.71 hingga RM223,694.14).
Sedangkan, purata pendapatan yang diperolehi kebanyakkan pekerja di Liverpool, England, United Kingdom itu hanyalah sekitar £32,731 atau RM192,812.81 setahun.
Perkara ini sekaligus membuktikan bahawa penawaran gaji untuk jawatan Imam di masjid berkenaan adalah lebih tinggi berbanding pendapatan standard penduduk.
Bagi mereka yang berminat, janganlah pula terburu-buru kerana penawaran gaji lumayan ini tentulah bermakna ia datang serentak dengan tanggungjawab begitu berat.
Menurut iklan tersebut, Liverpool Muslim Society (LMS) telah menetapkan kriteria di mana Imam masjid perlu memiliki kemahiran komunikasi dan kepimpinan yang baik.
“Imam bertanggungjawab untuk merangka dan melaksanakan sistem serta prosedur dalam menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawabkan masjid terhadapnya.
“Mereka perlu sentiasa fleksibel dalam pengurusan waktu dan mencari pendekatan yang terbaik bagi melaksanakan khidmatnya sebagai Imam dalam komuniti Islam.
“Calon juga diharapkan sentiasa bersedia memantapkan ilmu agar dapat memimpin aktiviti dan juga ibadah Islam serta menjana idea serta inisiatif baharu,” tulisnya.
Mereka yang menjawat jawatan ini juga perlu aktif menyebarkan kesedaran agama dan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat Liverpool tidak kira golongan umur.
Bukan itu sahaja, Imam juga akan manjadi wakil bagi pihak jawatankuasa LMS dan masyarakat Islam dalam mesyuarat dan acara rasmi berkaitan serta di media-media.
“Anda harus mempunyai kelayakan Ijazah dalam Pengajian Islam. Seorang Hafiz al-Quran, boleh berbahasa Inggeris dan Arab serta memiliki ilmu hadis yang dalam.” Jelasnya.
Masjid yang terletak di Hatherley Street, Liverpool ini mampu memuatkan seramai 2,500 jemaah dan mereka sangat aktif dalam mengadakan aktiviti komuniti bersama masyarakat setempat.
Baca juga: ‘Bukan urusan saya..’ Ini respon padu Puteri Sarah kes penceraian Syamsul dan Ira Kazar