Pengenalan sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) memang telah memudahkan ramai pengguna jalan raya di negara ini.
Namun, ada beberapa pengguna yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila RFID gagal diimbas ketika melalui plaza tol.
Kegagalan ini menyebabkan mereka terpaksa mengundurkan kenderaan dan cuba melakukan imbasan semula sehingga berjaya melepasi palang tol.
Jika RFID masih gagal diimbas, mereka terpaksa menukar lorong tol, yang bukan sahaja menyusahkan tetapi juga melambatkan pengguna jalan raya lain.
Di platform X, seorang pengguna bernama Zalya Zahari telah berkongsi beberapa tip untuk mengelakkan masalah kegagalan imbasan RFID di tol.
“Saya perasan ramai yang masih ragu-ragu untuk menggunakan RFID, tetapi sebenarnya jika anda mengikuti garis panduan yang betul, anda tidak perlu mengundur kenderaan untuk imbasan kali kedua.
“Saya telah menggunakan RFID selama tiga tahun, dan setakat ini ia berfungsi dengan baik serta jauh lebih murah berbanding Smart Tag. Sekarang, kebanyakan plaza tol sudah dilengkapi dengan RFID, jadi jangan risau,” ujarnya di ciapan tersebut.
1. Pastikan kenderaan diperlahankan ketika mendekati tol dengan kelajuan bawah 20 km/j.
2. Jangan ikuti rapat kenderaan hadapan. Kalau tidak, berkemungkinan kereta anda tak akan lepas. Situasi ini sering berlaku terhadap pemandu yang gemar ‘mencucuk’ kereta hadapan.
3. Tambah nilai e-wallet 15 minit sebelum melalui tol. Ini berdasarkan pengalaman kakaknya yang pernah gagal melepasi palang kerana melakukan tambah nilai pada saat akhir.
4. Tampal pelekat RDIF di tempat ditetapkan sama ada di lampu kereta sebelah kiri ataupun atas cermin kereta sebelah kiri, pastikan jarak satu tapak tangan daripada badan kereta, jangan rapat dengan besi.
5. Jika pertama kali nak guna, kalau dah tampal dan sedikit senget, tolong jangan koyak. Ia masih boleh dibaca meski pun kedudukannya sedikit senget.
BACA: Seorang bekas ahli parlimen didakwa terlibat dengan kes gangguan seksual