Sebuah jeti kayu yang baru siap dibina dengan kos RM50,000 di Kampung Mutap, Bekenu, Miri
Telah menarik pelbagai reaksi dan komen daripada netizen yang mempertikaikan nilai sebenar jeti tersebut.
Gambar jeti yang dikongsi oleh Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pada Khamis lalu
menunjukkan projek tersebut dikenali sebagai ‘Bina Baru Jeti Kampung Mutap’ yang bertujuan menggantikan jeti lama yang telah rosak.
Namun, ramai netizen mempersoalkan dan membandingkan kos yang dikenakan untuk menyiapkan projek jeti berkenaan, yang dianggap terlalu tinggi untuk jeti kayu sepanjang 15 meter tersebut.
Menurut JKR Sarawak, jeti ini memakan masa sebulan untuk siap sepenuhnya pada bulan April tahun ini, malah lebih awal daripada jadual yang dirancang.
“Projek RTP (Rural Transformation Programme) DUN N.71 Bekenu, Bina Baru Jeti Kampung Mutap adalah salah satu projek di bawah seliaan JKR Miri dengan kos keseluruhan RM50,000.
“Skop kerja untuk projek ini melibatkan pembinaan jeti dengan lebar 1 meter dan panjang 15 meter.
“Dengan siapnya jeti ini, ia akan memudahkan penduduk Kampung Mutap, Bekenu untuk menjalankan aktiviti harian mereka, terutamanya semasa banjir dan air pasang besar.
Penduduk kampung boleh menggunakan laluan sungai sebagai alternatif untuk ke pasar Bekenu,” menurut perkongsian Unit Komunikasi Korporat JKR Sarawak di Facebook.