Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan spekulasi mengenai kemungkinan rombakan kabinet dalam masa terdekat.
Bercakap kepada pemberita hari ini, Anwar menegaskan bahawa dia belum mendengar sebarang maklumat mengenai rombakan kepimpinan kerajaan.
“Baru saya diberitahu. Macam mana saya tak dengar lagi? Siapa nak tolong rombak (reshuffle) tu? Saya tak dengar, serius,
saya belum dengar,” katanya selepas melancarkan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersilan Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Ketika ditanya tentang dakwaan bahawa seorang menteri besar mungkin akan dilantik sebagai anggota jemaah menteri, Anwar berkata perkara tersebut mungkin akan dilaksanakan selepas pilihan raya umum (PRU).
“Boleh jadi lepas PRU, insya-Allah,” ujarnya.
Sebuah portal berita yang memetik sumber hari ini melaporkan bahawa kemungkinan satu lagi rombakan kabinet akan berlaku, kurang setahun selepas rombakan terakhir.
Menurut sumber berpengaruh dari PKR, seorang menteri dari parti itu mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan.
“Prestasi individu ini dipersoalkan, dan dijangka akan digugurkan atau dipindahkan ke kementerian lain,” kata sumber yang dipetik FMT.
Portal tersebut juga melaporkan bahawa seorang menteri besar dipercayai akan dilantik sebagai menteri, satu langkah yang telah dibincangkan sebelum rombakan kabinet pada Disember lalu.
Menurut portal itu, terdapat juga perbincangan tentang kemungkinan rombakan kabinet menjelang akhir Ogos. Beberapa timbalan menteri dijangka dinaikkan pangkat ke jawatan menteri.
Kali terakhir Anwar merombak kabinetnya adalah pada Disember tahun lalu, di mana jumlah menteri ditambah daripada 29 orang kepada 31.
V Sivakumar dari DAP digugurkan sebagai Menteri Sumber Manusia, sementara bekas Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amir Hamzah Azizan, dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua.
Turut kembali sebagai menteri adalah Gobind Singh Deo dari DAP sebagai Menteri Digital, Dzulkefly Ahmad dari Amanah sebagai Menteri Kesihatan, dan Johari Ghani dari Umno sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.
Beberapa menteri juga mengalami pertukaran portfolio.
BACA: Baru tahu sebab orang cina cepat kaya, ini rahsia yang diamalkan turun temurun