Realtime website trackingweb stats

Ini ‘blind spot’ lori yang ramai tak ambil tahu

Oleh FATIN AQILAH

Ketika berada di jalan raya, keselamatan harus menjadi keutamaan. Namun, adakah kita benar-benar menyedari bahaya yang ‘tersembunyi’ di sekeliling kita?

Salah satu bahaya terbesar yang sering diabaikan oleh pengguna jalan raya adalah ‘blind spot’ lori.

Tidak kira sama ada anda pemandu kereta, penunggang motosikal, atau pejalan kaki, penting untuk memahami apa itu ‘blind spot’ dan bagaimana ia boleh menjejaskan keselamatan anda.

‘Blind spot’ merujuk kepada kawasan sekitar kenderaan yang tidak dapat dilihat oleh pemandu melalui cermin pandang belakang atau cermin sisi.

Bagi lori, kawasan ini lebih besar dan lebih berbahaya berbanding kenderaan biasa disebabkan saiznya yang besar dan bentuknya yang panjang.

Ini 'blind spot' lori yang ramai tak ambil tahu

Kenapa ‘blind spot’ lori bahaya?

‘Blind spot’ lori boleh mendatangkan bahaya dan bahkan meragut nyawa kerana ia meningkatkan risiko kemalangan.

Jika pemandu lori tidak dapat melihat anda, mereka mungkin membuat pergerakan yang tidak dijangka seperti menukar lorong atau membrek secara tiba-tiba, yang boleh menyebabkan pelanggaran.

Kemalangan melibatkan lori biasanya lebih serius dan boleh mengakibatkan kecederaan parah atau kematian disebabkan saiz dan berat lori yang besar.

Oleh itu, penting bagi pengguna jalan raya untuk memahami dan menghindari ‘blind spot’ lori.

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, lori mempunyai beberapa ‘blind spot’ utama yang perlu kita waspadai:

Depan: Jaga jarak sekurang-kurangnya empat buah kenderaan antara anda dan lori.

Belakang: Lori tidak dapat melihat sehingga 10 meter di belakangnya.

Kiri dan Kanan: Kedua-dua sisi lori mempunyai ‘blind spot’ yang panjang. Jangan berlengah semasa memotong; pintas dengan selamat dan jangan memandu terlalu perlahan.

Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Dengan memahami dan mengelakkan ‘blind spot’ lori, kita dapat mengurangkan risiko kemalangan dan menjaga keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.

BACa: 5 tips untuk bersihkan dinding dapur kotor terkena percikan minyak