Realtime website trackingweb stats

Rupanya ini maksud nombor pada bungkusan daging sejuk beku ramai tak tahu

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Daging sejuk beku adalah antara pilihan daging yang ditawarkan dalam pasaran Malaysia.

Terdapat pelbagai jenis daging mentah yang dijual secara sejuk beku, namun yang paling popular tentunya daging kerbau dan lembu.

Pilihan daging sejuk beku ini pula boleh ditemui di jual di hampir semua pasaraya yang ada di negara ini dan harganya lebih murah berbanding daging segar.

Bagi anda yang pernah membeli daging kerbau sejuk beku, anda pasti pernah melihat kod nombor yang terletak di plastik bungkusan daging.

Menerusi hantaran di Facebook(Penjual Daging Baraqah Maju), pihaknya menjelaskan kod-kod yang ada pada bungkusan daging kerbau sejuk beku dan kesesuaian untuk masakan-masakan tertentu.

Rupanya ini maksud nombor pada bungkusan daging sejuk beku ramai tak tahu

Hal ini kerana bagi mengelakkan para pembeli tersalah pilih bahagian dan kod nombor diletakkan bagi memudahkan mereka.

Kod 11 bermaksud bahagian daging bawah perut dan kurang lemak serta urat. Bahagian ini sesuai untuk masakan kari/gulai, rebus/singgang ataupun masak kicap.

Bagi anda yang menyukai bahagian batang pinang, anda boleh memilih kod 31 kerana dagingnya paling lembut dan tiada lemak. Bahagian daging ini sesuai dijadikan daging sate, stik, goreng dan bakar.

Dalam pada itu, kod 41 pula bermaksud bahagian daging dalam paha belakang dan ia merupakan jenis isi daging pejal dan halus. Daging kerbau beku kod ini sedap dimasak sebagai sup, rendang, kari dan gulai.

Menurut hantaran lagi, kod 42 adalah daging dalam bahagian paha belakang dan ia agak pejal dan sedikit liat. Sama seperti bahagian daging kod 41 dan kod 11, ia sedap dimasak sebagai rendang, kari, rebus dan singgang.

Manakala, kod 44 merupakan bahagian paha belakang, berotot dan mempunyai daging yang sedikit liat. Jadi, ia sedap dimasak sebagai beriani, kurma, kari ataupun rendang.

Kod 46 sama seperti kod 31 iaitu bahagian daging batang pinang tetapi ia mempunyai isi lembut dan berlemak. Walau bagaimanapun, ia hanya sesuai dijadikan sate, bakar dan goreng.

Lanjutan daripada itu, kod 61 adalah daging bahagian bawah dada, namun ia mempunyai daging yang sedikit pejal dan liat. Daging kerbau beku kod ini sedap dimasak sebagai sup, daging salai, rebus dan singgang.

Sekiranya anda suka daging yang sedikit tebal dan lembut, anda boleh memilih daging bahagian bahu sehingga paha depan iaitu kod 64. Bahagian ini sesuai dimasak sebagai sup, rendang, beriani dan kurma.

Kod 65 pula merupakan bahagian bahu depan dan berserat kasar. Daging bahagian ini sesuai untuk dimasak sebagai sup, rendang, kari serta gulai.

Jika anda ingin memasak dalca atau gulai kawah, anda boleh memilih kod 66 kerana ia mempunyai daging cincang dan campur. Isinya berlemak dan berurat sesuai untuk kedua-dua jenis masakan ini.

Akhir sekali, kod 67 adalah daging bahagian leher sehingga rusuk, malah memiliki isi yang pejal dan lembut. Bahagian daging ini sedap dimasak sebagai sate, bakar, beriani dan kurma.

BACA: Ikonik di Kampung Baru ‘Rumah Biru’ rupanya tak jadi roboh, ini kisah sebenar