Realtime website trackingweb stats

Ini yang jadi pada kenderaan anda bila RON95 bercampur dengan R0N97

Oleh SHAZLIN AZIZ

Di Malaysia, kebanyakan stesen minyak menawarkan dua pilihan gred petrol untuk kenderaan ringan iaitu RON95 dan RON97.

Secara umumnya, kedua-dua jenis petrol ini mempunyai perbezaan dari segi warna dan kandungan yang mempengaruhi kadar pembakaran dalam enjin kenderaan anda.

Walau bagaimanapun, terdapat persoalan mengenai kesan jika kedua-dua jenis petrol ini dicampur dalam tangki yang sama.

Apa yang berlaku jika RON95 dicampurkan dengan RON97?

Isu ini telah diperbincangkan dalam komuniti pengguna laman X (Twitter) baru-baru ini.

Ini yang jadi pada kenderaan anda bila RON95 bercampur dengan R0N97

Adakah campuran ini akan mengubah kandungan petrol dan adakah ia baik atau buruk untuk kereta?

Untuk menjawab persoalan ini, Dr. Aid Fawzal, seorang pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Automotif, telah menerangkan perkara ini di laman X.

Beliau, yang merupakan seorang jurutera simulasi, pakar aliran bendalir, dan pemindahan haba, menyatakan bahawa ini bukanlah satu masalah besar.

Isu utama yang timbul adalah kos, di mana RON97 biasanya lebih mahal kerana tidak menerima subsidi kerajaan. Jika anda memutuskan untuk menukar dari RON95 kepada RON97, kos pengisian bahan api untuk kenderaan anda akan meningkat.

Berkenaan dengan kandungan, apabila kedua-dua gred petrol ini dicampur, ia akan menghasilkan nilai RON yang baru.

“Contohnya, jika terdapat 20 peratus RON95 dalam tangki dan anda mengisi selebihnya dengan RON97, campuran ini akan memberikan nilai RON baru, contohnya RON96.6,” jelas Dr. Aid Fawzal.

Bagaimanapun, beliau menasihati pengguna untuk memeriksa keperluan gred petrol yang sesuai untuk kenderaan mereka.

Jika anda tidak pasti tentang gred petrol yang sesuai untuk kenderaan anda, anda boleh merujuk kepada buku manual kereta anda atau tulisan yang tertera pada tempat penutup tangki minyak kenderaan

BACA: Pening anak ‘tantrum’ nak minum manis, ini cara mujarab latih minum air kosong pasti berkesan!