Sijil Halal adalah dokumen rasmi yang menjamin status halal bagi semua produk atau perkhidmatan berdasarkan
Skim Pensijilan Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang berwibawa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),
Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Skim ini meliputi tujuh kategori utama termasuk produk makanan, premis makanan, barang gunaan, kosmetik dan dandanan diri, rumah sembelih, farmaseutikal, dan logistik.
Syarikat atau peniaga yang menghasilkan produk perlu memperoleh sijil Halal sebagai bukti pengesahan daripada JAKIM bahawa produk yang dihasilkan mematuhi standard halal yang ditetapkan.
Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang mesti dipenuhi untuk memohon sijil ini. Berikut adalah syarat-syarat permohonan pensijilan Halal Malaysia seperti yang tertera dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM, Domestik 2020):
1. Memiliki Perakuan Pendaftaran Perniagaan yang sah dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perakuan Pendaftaran Koperasi dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia, atau Dokumen Penubuhan dari agensi kerajaan lain yang berkaitan.
2. Memiliki lesen atau kelulusan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau surat pengesahan daripada mana-mana agensi kerajaan yang sah.
3. Memiliki Perakuan Pendaftaran Premis Makanan yang sah dari Badan Kawal Selia Makanan (BKKM) jika berkaitan.
4. Memiliki Skim Pensijilan Veterinar atau surat perakuan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) jika berkaitan.
5. Memiliki Lesen Pengilang yang sah dari National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) jika berkaitan.
6. Memiliki Lesen Establismen daripada Malaysian Dental Association (MDA) jika berkaitan.
7. Perniagaan perlu beroperasi sepenuhnya sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum memohon Sijil Pensijilan Halal Malaysia (SPHM) untuk permohonan baharu.
8. Syarikat yang berpindah ke lokasi baru perlu beroperasi sekurang-kurangnya satu bulan sebelum memohon.
9. Mengeluarkan dan mengendalikan produk halal sahaja termasuk produk dagangan, serta mematuhi piawaian halal yang ditetapkan.
10. Permohonan boleh dilakukan untuk semua jenis produk atau menu yang dihasilkan di premis berkenaan.
11. Memperoleh sijil halal yang sah untuk permohonan pembungkusan semula produk, atau dokumen sokongan yang menyatakan sumber bahan yang jelas untuk bahan-bahan semula jadi.
12. Nama syarikat, produk, menu, ramuan, dan jenama produk yang dimohon tidak boleh menggunakan pernyataan ‘halal’ atau sebarang representasi lain yang menunjukkan ia boleh digunakan oleh orang Islam.
Dengan mematuhi syarat-syarat ini, syarikat atau peniaga dapat memastikan produk mereka diterima sebagai produk halal yang sah dan mendapat pengiktirafan yang diperlukan untuk pasaran.
BACA: Kalau jari terkena selumbar atau duri jangan biar sampai bengkak, ini sebab ramai tak tahu