Pelakon Nora Danish dan suami, Nedim Nazri sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, sebentar tadi.
Bersetuju untuk berpisah secara baik menerusi prosiding selepas tujuh tahun berkahwin, mereka berpisah di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada jam 8.34 malam tadi.
Memetik laporan BH Online, Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif, 42, sangat mengharapkan orang ramai dapat mendoakan yang terbaik buat mereka sekeluarga.
“Saya dan juga bekas suami saya, sudahpun mendapat persetujuan bersama untuk mengakhiri perkahwinan kami yang sudah kami dirikan selama tujuh tahun. Ia berakhir di sini.
“Apa yang paling penting apa yang boleh saya katakan tujuan kami pada hari ini adalah untuk membesarkan anak-anak kami dengan penuh kasih sayang dan positif.
“Jadi saya harapkan sangat pada anda semua mendoakan yang terbaik buat kami dan juga keluarga kami.
“Yang paling penting saya harap tiada teori-teori di luar sana mengenai perpisahan kami kerana kami sangat mementingkan keharmonian kedua-dua belah keluarga dan anak-anak kami,” katanya.
Dalam pada itu, Nedim atau nama sebenarnya, Mohamed Nedim Mohamed Nazri, 41, enggan mengulas lanjut.
Nedim hadir tanpa peguam, manakala Nora diwakili oleh peguam syarie, Ahmad Badri Idris.
Sebelum itu, Nora berjubah putih hadir bersama Nedim menaiki sebuah kereta kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam pada jam 7.40 malam.
Malah pasangan ini dilihat gembira meluangkan masa tiga anak mereka meraikan sambutan Hari Bapa, baru-baru ini. Nora memuat naik perkongsian momen indah bersama keluarga dalam Instagram Story dipercayai meraikan sambutan Hari Bapa yang jatuh pada 16 Jun lalu.
Pada 29 April lalu, Nora mendedahkan rumah tangga dengan Nedim yang dibina sejak 2017, bergolak.
Nora dilapor mengaku dia dan Nedim berusaha menangani situasi itu sebaik mungkin agar tidak terjadi perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada anak.
Dalam reaksi balas beberapa hari kemudian, Nedim dilapor menegaskan rumah tangga mereka masih dalam keadaan baik, sebaliknya, hanya ‘gaduh-gaduh manja’’.
Menerusi sesi ‘live’ Instagram (IG), Nedim dihujani pertanyaan daripada pengikut mengenai status rumah tangga bersama Nora.
“Tidak ada apa-apapun, saya sayangkan isteri saya. Tolonglah, jangan buat lawak mengarut. Janganlah cakap pasal berpisah, tak baik.
“Saya dan isteri masih baik, kami adalah rakan dan pasangan yang baik,” katanya.
Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan anak lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan anak lelaki, Putra Rayqal, 15 sebelum bercerai pada 2008.
BACA: Pemain badminton ini dedah maksud isyarat tangan yang sering digunakan