Realtime website trackingweb stats

Tidak boleh lagi buat iklan unsur agama, kata SKMM

Oleh NUR KASIH

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menguatkuasakan kod etika baharu dalam pengiklanan

Bagi menghalang sebarang penggunaan elemen dan unsur agama untuk melariskan perniagaan atau pemasaran produk.

Kod Kandungan 2022 yang digubal Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) itu juga bertujuan bagi mengelak

salah guna hujah dan unsur eksploitasi agama yang digunakan pengiklan atau pemilik produk untuk memikat hati pengguna.

Dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya tahun ini, perubahan itu dibuat demi menjaga kesucian dan sensitiviti agama, selain mengelakkan timbul salah tanggapan orang ramai terhadap agama.

Tidak boleh lagi buat iklan unsur agama, kata SKMM

Antara penyalahgunaan agama dalam iklan yang dikesan berleluasa, termasuk produk yang kononnya sudah dibacakan ayat al-Quran dan dakwaan boleh menyembuhkan penyakit, selain produk yang didakwa mesra wuduk.

Larangan terpakai kepada semua agama
Tidak boleh lagi buat iklan unsur agama, kata SKMM

Pengarah Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood memberitahu BH, larangan itu terpakai kepada semua agama dan bukan hanya agama Islam sahaja bagi melarang penyalahgunaan agama dalam iklan sebagai gimik pemasaran untuk melariskan jualan produk.

“Perubahan yang dicadangkan antaranya bagi menangani kandungan menghasut atau provokasi, tindakan kekerasan berdasarkan jantina, selain melarang penyalahgunaan agama dalam iklan. Peruntukan baharu ini akan dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Contohnya, produk yang didakwa dibacakan al-Quran dan boleh menyembuhkan penyakit dan produk kecantikan mesra wuduk. Jika benar dakwaan itu, penjual perlu menjelaskan lebih terperinci dan membuktikan kesahihan tuntutan yang dibuat itu,” katanya.

CMCF ditubuhkan secara rasmi pada 2001 adalah sebuah badan pemantau di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang terletak di bawah SKMM.

BH sebelum ini mendedahkan, jualan produk didakwa ‘makanan sunnah dan penawar’ kerana kononnya diiringi bacaan doa dan zikir ketika proses pembuatannya masih berleluasa di negara ini walaupun jelas bertentangan dengan keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.

Malah, produk yang didakwa sebagai keluaran Muslim itu juga dijual dengan harga yang mahal iaitu boleh mencecah RM500 bergantung kepada berat dan pakej beberapa jenis barangan tertentu.

Produk berkenaan turut dipromosikan menerusi media sosial, aplikasi sembang serta e-dagang secara meluas dalam usaha menarik perhatian pembeli.

Ia bukan sahaja membabitkan pelbagai produk makanan dan minuman, kosmetik dan kesihatan tradisional, malah ada juga produk sedemikian didakwa menyembuhkan atau menghalang gangguan jin dan syaitan.

Henti guna agama sebagai gimik pemasaran, lariskan jualan
Mengulas lanjut, Madiha berkata, pada awalnya CMCF mencadangkan perubahan dalam kod etika berkenaan dilaksanakan tahun lalu bersama perubahan lain.

Sesi rundingan awam juga telah dilaksanakan bagi mendapat maklum balas orang ramai mengenai draf Kod Kandungan 2022.

Beliau juga mengingatkan semua pihak agar berhenti menggunakan agama sebagai gimik pemasaran untuk menarik pelanggan dan melariskan jualan.

Bagaimanapun, katanya, kod kandungan yang akan dikuatkuasakan itu tidak menghalang tokoh atau selebriti agama daripada menjadi jurucakap sesuatu produk.

“Apa yang dilarang hanyalah mereka tidak boleh lagi membuat dakwaan atau tuntutan yang mengelirukan atau memperdaya pembeli dengan dakwaan agama.

“Perubahan dan larangan itu bukan saja untuk melindungi pengguna, tetapi ia disebabkan pihak kami mendapati banyak aduan dan isu dibangkitkan membabitkan perkara ini,” katanya.

Madiha menasihatkan pengguna yang mengesan kandungan merangkumi pengiklanan, penyiaran dan kandungan mudah alih yang tidak sesuai serta sensitif supaya membuat aduan kepada suruhanjaya berkenaan.

Katanya, aduan boleh disalurkan menerusi Portal Aduan, e-mel atau surat kepada Biro Aduan Forum Kandungan SKMM.

Selain itu, beliau menggalakkan pengguna mengamalkan kawalan kendiri dan amalan selamat ketika melayari internet terutama di platform media sosial seperti YouTube, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan Snapchat.

BACA: Ramai anggap kulit udang sebagai sampah, ini khasiat sebenar ramai tak tahu