Realtime website trackingweb stats

Cara ‘mujarab’ matikan tunggul pokok besar tanpa guna racun pasti menjadi!

Oleh AHMAD ISMAIL

Apabila pokok yang sudah tua mulai menunjukkan tanda-tanda usia, ia menjadi risiko terhadap persekitaran sekelilingnya dengan potensi untuk tumbang pada bila-bila masa.

Walaupun telah ditebang, sering kali pokok itu akan mula bertunas semula dari bahagian pangkalnya dan dengan cepat membesar kembali.

Keadaan ini tentu menjadi kebimbangan kerana selepas pertumbuhan semula, pokok tersebut boleh menjadi bahaya yang mengancam nyawa orang ramai.

Jadi, adakah terdapat cara untuk mengelakkan masalah ini?

Melalui perkongsian Uzayr Ezra di Facebook Tukang Apa Hari Ini, dikongsikan satu kaedah untuk mematikan dan menghalang pertumbuhan semula pokok besar yang telah ditebang.

Cara 'mujarab' matikan tunggul pokok besar tanpa guna racun pasti menjadi!

Beliau menyatakan bahawa kaedah ini dapat menghalang pertumbuhan pokok kembali dengan berkesan.

Menurutnya, beliau mengetahui tentang kaedah ini setelah ia dilihat dilakukan oleh kontraktor Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semasa melakukan kerja penebangan pokok besar di kawasan perumahannya.

“Kaedah ini saya kongsikan setelah melihat kontraktor MBSA menggunakan kaedah ini semasa penebangan pokok besar di kawasan perumahan saya. Mereka membentuk alur petak-petak seperti yang terlihat dalam gambar. Hasilnya, tiada pokok baru yang muncul selepas itu,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa proses ini tidak melibatkan penggunaan racun, hanya dengan membuat alur petak di pangkal pokok.

Bagaimanapun, jika ingin membuang pokok sepenuhnya, individu perlu mengorek tanah di kawasan pangkal tersebut.

“Tidak perlu menggunakan racun, hanya gunakan chainsaw. Anda boleh menggunakan kaedah ini di rumah anda, tetapi jika ingin membuang pokok sepenuhnya, anda perlu mengorek tanah di kawasan pangkal,” tambahnya.

Mengenai respons daripada komuniti dalam komen, kebanyakan pengguna media sosial bersetuju bahawa kaedah tersebut adalah cara yang betul untuk mematikan pokok yang telah ditebang.

Terdapat juga cadangan lain dari beberapa individu, seperti menuangkan minyak hitam atau diesel untuk mempercepatkan proses reputan pokok yang telah ditebang.

BACA: Cara berbeza lelaki dan wanita susun kotak di tempat tinggi ramai baru tahu