Menziarahi kubur adalah amalan yang disyariatkan dalam Islam kerana ia mengingatkan kita tentang hakikat kematian.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
“Pergilah menziarahi kubur, sesungguhnya ia mengingatkan kamu kepada akhirat”.
Sebagai seorang Muslim, kita dituntut untuk menjaga adab ketika menziarahi kubur.
Rasulullah SAW mengajar kita adab-adab seperti mengucapkan salam, membaca doa untuk ahli kubur,
Tidak duduk di atas kubur, tidak memuja kubur, dan menjadikan kubur sebagai tempat untuk mengingati akhirat.
Namun, terdapat amalan yang mungkin terlepas pandang oleh sesetengah orang iaitu mencium batu nisan pada kubur. Apakah amalan ini dibolehkan dan apakah hukumnya dalam Islam?
Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, amalan mencium batu nisan adalah mungkar dan perlu dijauhi ketika menziarahi kubur. Amalan ini dilarang kerana ia merupakan bentuk berlebih-lebihan dalam ritual menziarahi kubur.
Imam al-Nawawi dan Imam al-Ghazali juga menyatakan bahawa amalan ini tidak termasuk dalam sunnah dan merupakan bidaah yang tercela secara syarak.
Oleh itu, sebagai seorang Muslim, penting bagi kita untuk tidak mengikuti amalan-amalan yang bukan daripada ajaran Islam. Sebaliknya, kita disarankan untuk menjalankan amalan sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, iaitu dengan memberi salam kepada ahli kubur, memohon keampunan, dan rahmat bagi mereka.