Zaman sekarang, kita dapat lihat banyak kedai makan menghidangkan pelbagai jenis makanan moden, terutamanya kafe-kafe hipster
Tidak dinafikan, perkara ini sudah pastinya dapat menarik pelanggan untuk mencuba makanan yang unik dan berbeza dari kebiasaannya.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang timbul seperti tentang status halal premis makanan lebih-lebih lagi tukang masaknya yang bukan merupakan dari golongan Islam.
Persoalannya, boleh atau tidak kita makan makanan yang dimasak oleh orang bukan Islam?
Baca artikel ini sehingga habis untuk mengetahui informasi yang lebih lanjut.
Tidak menjadi kesalahan sekiranya seseorang itu memakan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam
Berdasarkan laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tidak menjadi kesalahan sekiranya seseorang itu makan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam walaupun ia berasal dari sumber yang halal kecuali sembelihan mereka.
Ini bermaksud, individu yang beragama Islam boleh makan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam, asalkan makanan yang digunakan adalah halal dan bukan hasil daripada sumber sembelihan mereka.
Walau bagaimanapun, sebagai orang Muslim, adalah lebih baik jika makanan yang dimakan itu disediakan oleh orang beragama Islam yang bertaqwa.
Bagaimana pula dengan makanan yang disediakan daripada perkakas penyediaan makanan haram?
Terdapat juga segelintir individu yang was-was untuk mengambil makanan yang dimasak oleh orang bukan Islam kerana risau perkakasnya juga digunakan untuk penyediaan makanan haram.
Namun, berdasarkan hasil rujukan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, penyediaan makanan dari perkakas yang pernah digunakan untuk masak makanan tidak halal sebenarnya tidak menjadikan makanan itu haram. Sebaliknya, perkakas itu hanya perlu dicuci dengan air.
Tetapi, sekiranya individu tersebut yakin bahawa peralatan memasak digunakan untuk penyediaan najis berat seperti khinzir, maka cara cuciannya adalah berbeza mengikut cucian biasa iaitu dengan membasuh tujuh kali dengan air mutlak dengan basuhan air bercampur tanah.
Namun, menurut mazhab Syafie, jika anda makan makanan yang disediakan daripada perkakas yang digunakan untuk masak makanan tidak halal, hukumnya adalah makruh.
Sebolehnya kita carilah restoran yang benar-benar menyediakan makanan halal dan tidak mendatangkan rasa was-was sebelum makan di situ. Semoga perkongsian ini dapat memberikan penjelasan buat anda!
BACA: Penyair Pyan Habib meninggal dunia selepas seminggu menyambut hari kelahiran