Penyair dan pelakon Pyan Habib telah meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, Selangor pada malam Selasa.
Pyan, atau Mohd Supyan Abdul Rahman, meninggalkan dunia pada usia 66 tahun.
Berita duka ini dikongsi oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif, Pengurusan Bencana Selangor, Mohd Najwan Halimi.
“Dukacita dimaklumkan seniman Pyan Habib Rahman baru saja menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Hulu Kelang sebentar tadi.
Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepada Allah juga kita akan kembali,” katanya.
Najwan berkongsi berita tersebut menerusi hantaran di Facebook miliknya. Jenazah dijadualkan untuk dimandikan di Masjid As Sobihin di Lembah Keramat, Ampang
pada pukul 9 pagi Rabu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 pada pukul 10 pagi.
Pyan mula mengarang puisi dengan menggunakan mesin taip Olivetti milik A. Latiff Mohidin di Anak Alam pada tahun 1976 dan disiarkan oleh Usman Awang dalam Dewan Sastera pada tahun 1980-an.
Anak Alam merupakan kumpulan seni yang diasaskan pada era 1970-an oleh sekumpulan seniman tempatan yang terdiri daripada penyair, pemain teater, penulis, dan pelukis.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai penyunting syarikat akhbar Utusan Melayu dan merupakan orang kurang upaya (OKU) kerana kehilangan deria pendengaran pada usia 12 tahun akibat demam panas.
Pada tahun 1986, Pyan dan penyanyi Datuk M. Nasir muncul dalam bidang lakonan menerusi filem Kembara Seniman Jalanan. Bakat lakonannya terus mendapat pujian apabila muncul dalam filem arahan Datuk Rahim Razali yang berjudul Tsu Feh Sofiah.
Menerusi lakonannya dalam filem Tsu Feh Sofiah, Pyan memenangi trofi Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7, namun menolak penganugerahan tersebut atas alasan terkilan tidak dipertandingkan menerusi filem Kembara Seniman Jalanan.
Antara filem lain yang menampilkan Pyan adalah Rock Oo!, Apokalips X, Mat Som, Tak Kisahlah Beb, dan Ucop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium.
BACA: Tular video bas Mutiara memotong ‘double line’, sekali ini respon Pengerusinya