Realtime website trackingweb stats

‘Speed dating? Ibarat kumbang hisap madu’- Ini penjelasan mufti tentang hukum ‘speed dating’

Oleh SHAZLIN AZIZ

Agama Islam sama sekali tidak merestui perbuatan atau penganjuran ‘speed dating’ antara teruna dan dara, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Mohd Noor.

Beliau berkata, anak gadis terutama yang beragama Islam dinasihati supaya sentiasa berhati-hati dengan pemuda kasanova.

“Peliharalah kehormatan diri dan nama baik keluarga anda. Jangan mudah percaya atau terpengaruh dengan pujuk rayu ‘kumbang’ yang hanya ingin ‘menghisap madu’ kemudian akan terbang entah ke mana, meninggalkan bunga terkulai layu.

“Pemuda juga dinasihati supaya tidak menjadikan anak gadis yang naif sebagai mangsa nafsu serakah, namun jika berkenan di hati silalah masuk meminang dan berjumpa ibu bapa si gadis dengan cara bersopan sesuai dengan hukum agama dan adat resam bangsa,” katanya hari ini.

Wan Salim berkata demikian susulan tular sebuah video memaparkan penganjuran speed dating di sebuah kafe di ibu negara dan disertai pemuda serta wanita yang mahu mencari pasangan hidup.

'Speed dating? Ibarat kumbang hisap madu'- Ini penjelasan mufti tentang hukum 'speed dating'

Ia popular di negara Barat dan menjadi kaedah kepada pasangan yang belum berkahwin mencari jodoh dengan mengadakan janji temu kononnya untuk berkenalan terlebih dahulu bagi mencari keserasian.

Setiap wanita akan diberi masa untuk duduk berbual serta berkenalan bersama seorang lelaki dalam tempoh tertentu dan selepas tamat masa, peserta lelaki lain pula akan berkenalan dengan peserta wanita berkenaan sehingga mereka menemukan kesesuaian.

Difahamkan kaedah itu mula dianjurkan di negara ini sejak hampir 10 tahun lalu namun kembali popular sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, program sedemikian mendatangkan lebih banyak keburukan dan mudarat berbanding kebaikan dan manfaat.

Katanya, bayangkan apa yang bakal terjadi sekiranya seorang pemuda mahu mengadakan hubungan intim dengan seorang gadis kemudian meninggalkannya dengan alasan gadis berkenaan tidak sesuai dijadikan pasangan hidup.

“Pemuda yang sering melakukan janji temu sebegini akan mendapati bahawa tujuan sebenarnya bukan mahu mendirikan rumah tangga secara sah dengan gadis yang digoda, tetapi hanya mahu berhibur dan berseronok semata-mata.

“Lebih parah ada yang ingin mempengaruhi si gadis kenalannya ke arah perlakuan maksiat dan jika gadis berkenaan hamil, pemuda itu menafikan kehamilan adalah disebabkan oleh perbuatannya.”

“Mungkin ada juga yang ‘menangguk di air keruh’ dengan mengugut untuk mendedahkan rahsia keterlanjuran yang berlaku kepada orang ramai dengan tujuan menjatuhkan maruah gadis yang menjadi mangsanya.

“Hanya orang yang berakal waras tidak mungkin merestui hubungan sedemikian yang menggugat keutuhan masyarakat dengan keruntuhan,” katanya.

@pertama.kali Would you try Speed Dating? 🤔 Some moments from our last event! DM us to book your seat for our next event. #speeddating #datinginkl ♬ First Love – Fuse Adventures in Audio x Chris

Baca:

“Kenapa nak persoal orang taknak tolong?” – Ramai ‘kepanasan’ isu #Blockout2024, kini Aqasha pula bersuara

‘Ada-ada sahaja negara jiran kita, benda ni pun nak salahkan Malaysia, tak boleh ke bersaing secara sihat?’

Komen Leona tentang Azhar Sulaiman cetus reaksi netizen, tidak kongsi pandangan sama