Faisal Halim, yang merupakan pemain bola sepak kebangsaan, telah dilaporkan selamat menjalani pembedahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Shah Alam.
Walaupun begitu, beliau, yang merupakan tonggak utama pasukan Selangor FC, perlu menjalani beberapa pembedahan tambahan selepas mengalami lecur tahap empat akibat insiden serangan asid di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara pada petang Ahad.
Laporan dari The Star yang disebutkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, mengesahkan perkara ini selepas beliau melawat Faisal di hospital.
“Kami bertemu dengan Faisal di hospital pertama selepas dia dirawat. Dia boleh bercakap dan berkomunikasi, dalam nada yang rendah.”
“Kemudian kelab memindahkannya ke hospital panel dan ketika itulah kami dimaklumkan bahawa dia perlu dibedah kerana keadaan kulitnya yang agak teruk.”
“Kami turut dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa dia mengalami lecur tahap empat dan bukanlah tahap dua. Ia agak teruk dan dia tidak dapat rasa lengan kirinya.”
Shahril juga memaklumkan bahawa pemain berusia 26 tahun itu perlu menetap di hospital untuk tempoh tiga hingga empat minggu.
Kejadian yang menimpa Faisal juga mendapat respons daripada orang ramai di media sosial yang berharap agar pelaku yang melakukan perbuatan khianat terhadap pemain bola sepak negara itu dihukum dengan setimpal.
Mereka turut mendoakan agar Faisal cepat sembuh daripada kecederaan yang dialaminya.
Pada awalnya, Faisal dilaporkan telah menjadi mangsa serangan asid semasa membawa keluarganya di sebuah pusat membeli-belah di Kota Damansara pada petang Ahad yang lalu.
Lebih menyedihkan, dua penyerang yang menunggang motosikal itu turut mengucapkan kata-kata “selamat berjaya” kepada Faisal sebelum melemparkan cecair kimia itu ke arahnya.
Walau bagaimanapun, pihak polis telah berjaya menangkap dan menahan seorang individu yang disyaki terlibat dalam tindakan pengkhianatan ini.
Untuk makluman, ini merupakan kejadian kedua yang melibatkan seorang pemain bola sepak kebangsaan selepas kecederaan Akhyar Rashid, pemain Johor Darul Ta’zim FC (JDT) yang dipinjamkan kepada pasukan Terengganu FC.
Beliau telah diserang oleh dua penyamun di kediamannya di Icon Residence, Kuala Terengganu pada 3 Mei yang lalu, mengakibatkan cedera di bahagian kepala dan kaki.
Baca:
Anak lelaki pun kena jaga pergaulan mereka,banyak kes HIV dan Aids dalam peringkat umur ini
Penyanyi lagu ‘Seloka Hari Raya’ Hail Amir meninggal dunia
Jenama Omoda tengah ‘letup’, tapi hanya kerana satu masalah ini 600 unit terpaksa dipanggil balik