Realtime website trackingweb stats

Shalom Avitan mungkin anggota unit pembunuh ‘Kidon’ Mossad, ini 10 fakta kegilaan pengganas itu dahagakan darah

Oleh SHAZLIN AZIZ

Heboh apabila Malaysia dikejutkan dengan penahanan seorang pengganas Israel bernama Shalom Avitan yang disyaki perisik negara haram itu.

Misinya yang mahu membunuh seseorang di negara ini pada 27 Mac lalu mengingatkan rakyat Malaysia tentang nasib dialami pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) warga Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma, di Setapak, pada 21 April 2018.

Pembunuhan pensyarah Palestin di ibu negara pada usianya 35 tahun itu menggemparkan dunia memandangkan jurutera dan terbabit dalam pergerakan pejuang Hamas itu maut akibat ditembak lebih 20 das di badan dan kepala ketika sedang berjalan ke Surau Medan Idaman, Setapak, bagi menunaikan solat Subuh.

Shalom Avitan mungkin anggota unit pembunuh Kidon Mossad ini 10 fakta kegilaan pengganas itu dahagakan darah 01

Banyak mendakwa ia telah dilakukan oleh agensi perisikan Israel, Mossad, yang terkenal dengan misi pembunuhannya terhadap ‘musuh-musuh’ Israel di seluruh dunia.

Berikut 10 fakta mengenai kekejaman Israel terhadap mereka yang dianggap musuh pengganas itu di seluruh dunia berdasarkan laporan Defence Security Asia (DSA):

1. Misi pembunuhan oleh Mossad biasanya dilakukan satu unit rahsianya dikenali sebagai ‘Kidon’ yang ditubuhkan pada 1970 dan bernaung di bawah Jabatan Caesarea yang berada dalam Mossad itu sendiri.

2. Jabatan Caesarea adalah cabang paling rahsia di dalam Mossad dan ‘Kidon’ adalah unit pelaksana yang paling rahsia dalam suatu organisasi yang kewujudannya amat dirahsiakan.

3. Tugas dan fokus utama ‘Kidon’ hanya satu iaitu melaksanakan pembunuhan terhadap sasaran yang telah dikenal pasti oleh agensi perisikan Israel itu di luar negara haram Yahudi itu.

4. ‘Kidon’ dalam bahasa Hebrew bermaksud ‘bayonet’ atau benet, setiabu atau sangkur senjata tajam seperti pisau yang dipasangkan pada hujung senapang.

5. Cara pembunuhan yang dilakukan unit rahsia dalam Mossad dikenali sebagai ‘Kidon’ ini kerap menggunakan lelaki bersenjata, bermotosikal dan bom yang dipasang secara dilekatkan pada sisi kenderaan mangsa.

6. Unit ‘Kidon’ ditubuhkan tidak lama selepas insiden pembunuhan 11 orang atlet Israel oleh pejuang Palestin ketika Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada 1972.

7. Sebagai tindak balas terhadap insiden itu, Israel telah melancarkan operasi ‘Wrath of God’ di mana anggota unit ‘Kidon’ selepas diberikan maklumat oleh anggota Mossad yang lain, telah memburu mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan terhadap atlet Israel pada temasya sukan itu.

8. Dalam operasi pembunuhan yang berlaku daripada 1972 hingga 1988, unit ‘Kidon’ dikatakan bertanggungjawab terhadap 22 insiden pembunuhan terhadap pemimpin dan anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang ketika itu dipimpin oleh Yasser Arafat.

9. Sejak 1972, terdapat lebih daripada 100 kes pembunuhan dikaitkan dengan Israel, namun adalah sukar untuk mengaitkannya dengan negara itu, apatah ia tidak pernah mengakuinya secara terbuka atau menafikannya.

10. Bilangan sebenar bilangan mereka yang terkorban akibat tindakan kejam oleh unit ‘Kidon’ itu berkemungkinan besar tidak akan diketahui oleh masyarakat dunia sampai bila-bila dan kekal menjadi rahsia Mossad dan pentadbiran Yahudi, Tel Aviv.

Baca:

Senarai pilih langsir yang wajib anda tahu & elak rugi!

Akhirnya pemilik bagasi berisi RM500,000 muncul, tapi masalah lain pula timbul

Selepas merayu pekerjaan, bapa 11 anak ini sekarang dah jadi model baju Melayu dan promosi jenama daging kambing perap