Selepas tiga bulan bercerai dengan pelakon Mawar Rashid, adik kepada cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob akhirnya buka mulut.
Raf Yaakob menjelaskan punca perceraian bersama bekas isterinya itu bukan disebabkan kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga mereka.
Ketika ditemubual dalam program hiburan, Melodi, Raf atau nama sebenar, Raden Ahmad Faizal Yaakob berkata, hubungannya dengan Mawar masih baik walaupun bukan lagi sebagai pasangan suami isteri.
“Alhamdulillah, hubungan saya dengan bekas isteri baik-baik sahaja. Selepas bercerai, tiada siapa yang keluarkan sebarangan kenyataan.
“Saya ingin terangkan di sini bahawa perceraian kami bukanlah disebabkan orang ketiga. Saya tiada orang ketiga dan begitu juga dengan Mawar.
“Allah sudah kata jodoh kami setakat ini sahaja, jadi saya reda dan terima ujian dengan hati terbuka,” ujarnya.
Tambah Raf lagi, dia dan Mawar kini hanya ingin menjaga hubungan baik demi kebahagiaan anak-anak.
“Selepas bercerai, tiada sebarang pergaduhan membabitkan anak-anak. Kami sangat fleksibel soal anak-anak.
“Itu tanggungjawab kami membesarkan anak-anak dalam keadaan bahagia.
“Alhamdulillah, setakat ini, kami sangat positif dengan anak-anak dan insya-Allah, mereka tidak akan terkesan dengan apa yang berlaku antara saya dan Mawar,” katanya.
Mengulas jodoh pada masa akan datang, Raf berkata, dia berserah kepada Allah dan tidak menolak seandainya disatukan semula dengan bekas isteri.
“Soal jodoh semuanya ketentuan Allah. Apa yang saya boleh cakap ialah saya akan sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan jodoh baik-baik.
“Kalau Allah kata saya akan dijodohkan semula dengan dia (Mawar), maka dialah orangnya. Namun jika Allah kata bukan, maka bukanlah dengan dia.
“Apa yang penting sekarang, saya mahu fokus untuk mencari nafkah buat anak-anak dan perbaiki diri saya sendiri,” katanya.
Raf dan Mawar yang mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017 mengesahkan perceraian mereka pada November tahun lalu.
Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Raden Muhammad, 5, Raden Seri Rosabella Cinta, 3 dan Raden Seri Riyanna Sayang, 1.
Baca:
Jenis – jenis ikan untuk kesuburan, sesuai bantu wanita hamil
Lepas rindu nak makan nasi lemak kuning, buat sendiri tak perlu santan pun