Seorang wanita Cina berusia 27 tahun mengakui rasa macam cikgu bahasa Melayu ketika di sekolah apabila kali pertama sepanjang hidupnya cuba pakai tudung.
Pekerja swasta, Wendy berkata, dia memang sangat suka melihat wanita Melayu yang memakai tudung kerana tampil dengan pelbagai gaya dan rekaan.
“Saya tahu yang mana tudung dipakai oleh wanita bangsa Melayu dan beragama Islam. Saya juga ada kawan-kawan beragama Islam.
“Setiap kali mereka pakai tudung baru, saya akan tanya beli di mana. Memang suka tengok mereka pakai tudung.
“Macam hari ini saya cuba pakai tudung, apabila tengok cermin penampilan saya seperti cikgu bahasa Melayu ketika di sekolah.
“Bagi saya, ia sangat selesa dan senang saja nak pakai,” katanya.
Menurutnya, program World Hijab Day anjuran Pertubuhan Jiwa Amal Malaysia sesuatu yang bagus dan perlu diteruskan pada masa akan datang.
Sementara itu, pengasas pertubuhan itu, Syed Zainal Abidin Jamallulail berkata, ramai juga secara sukarela nak pakai hijab dalam program di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur, 4 Februari.
Jelasnya, program itu memberi peluang kepada wanita daripada pelbagai bangsa dan agama untuk mencuba memakai hijab sempena World Hijab Day yang disambut pada setiap 1 Februari di seluruh dunia.
Beliau memberitahu, ia adalah penganjuran kedua pihaknya selepas kali pertama diadakan di Pasar Seni, tahun lalu.
“Alhamdulillah, program kali ini turut mendapat pengiktirafan dari luar negara.
“Kalau sebelum ini kami buat sendiri, tapi kali ini Pertubuhan Jiwa Amal Malaysia bekerjasama dengan World HijabDay Organization Malaysia dan beberapa pihak lagi.
“Jika sebelum ini sasaran kita 50 orang, penganjuran tahun ini pula 100 orang.
“Ada daripada bangsa lain datang memberi sokongan dengan terus mengenakan hijab.
“Siapa pun mereka, bangsa dan agama serta dari mana mereka datang, matlamat kita adalah untuk memberi pengalaman baru memakai tudung,” lapor Harian Metro.
Tambahnya, penganjuran program itu juga adalah untuk memberi kesedaran kepada bangsa dan agama lain mengenai pemakaian hijab itu.
“Kalau kita tengok daripada komuniti dan orang awam apabila cuba pakai tudung, mereka malu dan segan.
“Namun, apa yang kita cuba nak ketengahkan yang mana pakai tudung ini bukan satu penindasan dan perkara yang perlu dimalukan. Malah, bagi wanita Muslim ia adalah kewajipan untuk menutup aurat.
“Jadi, tidak salah jika kita sama-sama nak mengimarahkan dan menggalakkan cinta sesama bangsa, agama dan negara,” katanya.
Baca:
Dah kantoi ‘scam’ orang, patutlah ‘haus’ sangat rupanya kumpul tenaga nak lari
Semua orang boleh buat duit, tapi kena ada 2 syarat ini macam Khairul Aming
Awas! Simptom bengkak atau benjolan mungkin tanda awal kanser NPC