Saloma, seorang penyanyi terkenal, pernah bercerita dalam satu temu bual bahawa suaminya, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, juga seorang seniman besar, adalah seorang yang unik dan berbeza dalam cara dia bekerja.
Dia memberitahu bahawa suaminya sering menghabiskan berjam-jam di dalam bilik mandi ketika mencipta lagu atau menulis skrip filem, mencari ilham.
Hal ini membuatkan Saloma risau tentangnya.
“Dia (P Ramlee) kalau hendak bikin lagu tak kira masa siang, malam, pagi dan petang. Kadang-kadang dekat bilik mandi duduk berjam-jam sambil berfikir sampaikan saya pun naik takut dan tertanya apa yang dia fikir sebenarnya.
“Mula-mula dulu saya pelik. Baru-baru kahwin tak reti (tak faham), tapi lama-lama baru faham dia karang lagu atau buat skrip. Jadi, saya terpaksa pergi ke bilik mandi lain.
“Bilik mandi digunakan khas untuknya sahaja. Nanti dia yang cuci bilik mandi itu dan kasi (hias) cantik-cantik. Itu sahaja yang dia sayang sebab banyak ilham dapat daripada situ,” kata Saloma yang menjawab soalan diajukan wartawan pada sesi temu bual berkenaan.
Melalui klip video temu bual yang kembali menjadi popular di media sosial, Saloma memberitahu bahawa dia tidak akan bercakap dengan suaminya atau melakukan apa-apa yang boleh mengganggunya semasa dia sedang mencipta karya.
“Bila hendak bikin lagu, dia akan duduk dekat piano. Jadi, kita (saya dan anak-anak) tak boleh buka radio atau televisyen. Masing-masing buat hal sendiri dan saya akan menjahit dan macam-macam lagi.
“Kalau tiga hari macam itu, tiga harilah saya tak bercakap dengan dia kecuali ada keperluan macam hendak makan, minum atau lain-lain barulah kami akan bercakap.
“Saya sudah mengerti dengan P Ramlee punya cara, dia ini benar-benar ‘ganjil’. Saya belum pernah jumpa orang macam dia,” katanya.
Video temubual itu juga menarik perhatian pengguna media sosial, bahkan ada yang mengungkapkan kekaguman terhadap cara percakapan Saloma yang menggunakan bahasa Melayu formal.
Banyak yang menganggapnya sebagai gaya percakapan seperti zaman nenek moyang yang tidak mencampur adukkan bahasa Inggeris, sesuatu yang jarang diamalkan oleh artis-artis pada zaman sekarang.
Saloma berkahwin dengan P Ramlee, atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh, pada 21 November 1961.
Pernikahan mereka diadakan di rumah seorang rakan karib di Jalan Tembeling, Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Saloma dan P Ramlee mulai mengenal satu sama lain pada tahun 1948 ketika mereka mula terlibat dalam industri seni.
Pernikahan mereka berlangsung selama 12 tahun sehingga P Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973 akibat serangan jantung pada usia 44 tahun.
@sweett0901 Al-fatihah buat kedua2 arwah saloma&p.ramlee…#pramlee #saloma #pramleesaloma #terding #fypシ゚viral #fypシ #fyp #fyp #fyp #fypdonggggggg ♬ original sound – sweet
Baca:
Lautan manusia kerumun TRX demi David Beckham, disambut dengan sorakan meriah
‘Patut letaklah sirap, susu, kacang, cendol’ – Sanggup makan salji demi content
Bahaya terlalu bergantung kepada GPS, pemandu ‘sangkut’ atas jambatan