Realtime website trackingweb stats

Jual jajan sampai awal pagi, ‘mak cik’ yang terima kata sinis ini bukan sembarangan

Oleh FATIN AQILAH

Apa yang orang tak kata terhadapnya yang jual jajan sampai awal pagi. Ada yang bahkan mengeluarkan kata sinis lebih baik beribadat daripada bersiaran langsung di TikTok.

Tidak cukup itu, terdapat netizen persoal jual jajan kerana makanan tak sihat selain isu kebersihan.

“Boleh hidup ke dengan jual jajan? Jual jajan pun boleh cakap bahasa Inggeris?”

Jual jajan sampai awal pagi, 'mak cik' yang terima kata sinis ini bukan sembarangan

Itu juga antara soalan berbaur sinis yang pernah diajukan kepada Raja Nur Faizatul Asyikin Raja Omar, 40-an.

“Apa pun komen, saya terima dengan lapang dada dan berterima kasih kepada yang membeli malah tak sangka sokongan di luar jangkaan,” katanya.

Mesra disapa Kak Ikin ketika bersiaran langsung di TikTok, beliau menjual snek atau jajan di platform berkenaan.

Wanita yang tinggal di Pangsapuri Segar, Taman Bukit Segar, Kuala Lumpur ini tidak hiraukan pun bermacam komen yang seolah-olah merendah dan memperlekehkannya kerana niatnya demi mencari rezeki.

Rupanya, Raja Nur Faizatul bukan sembarangan wanita. Dia pemegang Ijazah Perakaunan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah.

Raja Nur Faizatul juga pernah bekerja 12 tahun sebagai pengurus percukaian di sebuah firma perakaunan.

Walaupun begitu, rezeki tidak menyebelahinya apabila diberhentikan kerja pada Mac 2022.

Itu sebabnya beliau beralih ke bidang perniagaan secara dalam talian bermula dengan menjual pelbagai barang seperti bahan pembuatan kuih dan kain batik.

Kak Ikin berkata, dia kemudiannya menjual jajan di TikTok pada November 2022 kerana mengakui gemar makan dan berasakan ia lebih dekat dengan dirinya.

“Rakan cadangkan saya guna platform TikTok untuk promosikan jualan,” dipetik Harian Metro.

Menyentuh mengenai cabaran dalam perniagaan, beliau berkata, permulaannya amat sukar kerana tiada pendapatan tetap.

“Saya perlu biasakan diri dan bekerja lebih kuat kerana tiada gaji tetap pada hujung bulan.

“Saya banyak berjimat dan keuntungan diperoleh digunakan untuk perbelanjaan harian, lunaskan komitmen dan untuk pusingan modal,” katanya.

Sekarang, ujarnya, sambutan pelanggan semakin baik, malah ramai yang membuat tempahan berulang.

Beliau berkata, perkongsian video dan sesi siaran langsung dibuat juga banyak membantu mempromosikan perniagaan selain usahanya dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Saya tidak kekok bercakap depan kamera kerana pernah masuk pertandingan bercerita waktu sekolah. Cuma, ketika mula live di TikTok dulu, tak ramai tengok, dua atau tiga orang saja.

“Kini, ia ditonton sehingga 200 orang dan pernah mencapai 800 orang. Kebanyakannya suka melihat saya ketawa,” katanya lagi.

Baca:

Idea trendy hias ruang tamu, nampak elegan dan tenang

‘Buka dulu payung tepi jalan jual nasi lemak’ – Ini nasihat untuk orang baru lepas pencen

Memang renyah nak masak kuah laksa lemak, sekarang senang, guna sardin je pun boleh