Bermula dengan rasa lapar tengah malam, Mohd Norzianal, 46, mengajak isterinya, Suhana Othman, 43, untuk jadi teman pergi ke kedai makan berhampiran.
‘Couple riding’ yang menaiki motosikal jenis Duke KTM itu kemudiannya membelah hening lewat malam.
Namun, ketika pukul 1 pagi, 11 Januari, sejurus tiba di kawasan dekat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di Sungai Petani Kedah, panggilan menghadap Ilahi pun sudah tiba.
Mereka menghembuskan nafas terakhir selepas terlanggar tiang elektrik dipercayai cuba mengelak babi melintas.
Susulan kemalangan maut itu, sekelip mata, anak sulung kedua-dua arwah, Nurul Fatin Hanani Azmi, 23, yang juga penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang perlu jaga 4 adiknya.
Nurul Fatin, Aida Batrisya, 17, Alya Batrisya, 16, Adlin Irfan, 15, dan Adib Ieman, 7, kini sudah bergelar anak yatim piatu.
Pasangan suami isteri itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Fatin berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa ibu bapanya selepas dimaklumkan anggota polis yang datang ke rumah sewa mereka di Taman Pahlawan yang terletak tidak jauh dari lokasi nahas.
Jelasnya, pada mulanya dia tidak percaya apa yang berlaku, namun selepas anggota polis terbabit menunjukkan Mykad ibu bapanya, dia terpaksa menerima hakikat bahawa kejadian itu benar-benar berlaku.
“Kami kemudian dibawa ke lokasi kejadian yang terletak tidak jauh daripada rumah sebelum ternampak jasad bapa di bawah motosikal manakala ibu pula terbaring tidak sedarkan diri bersebelahannya.
“Saya dan semua adik hampir rebah apabila melihat jasad mereka dan dimaklumkan mereka berdua sudah meninggal dunia,” katanya lapor Harian Metro.
Dia pada masa ini sedang menghabiskan cuti semester.
Sementara itu anak kedua pasangan itu, Aida Batrisya berkata, bapanya yang bekerja sebagai pengurus jualan mesin penapis air itu yang ketika itu bersama ibunya dalam perjalanan untuk membeli makanan.
Cerita Aida, bapanya ketika itu mengadu lapar dan mengajak ibu mereka menemaninya ke kedai makan berhampiran.
“Tak sangka kami akan menjadi yatim piatu sekelip mata malah adik bongsu, Adib Ieman pula tidak henti menangis.
“Ibu dan bapa saudara juga banyak membantu kami termasuk urusan pengebumian arwah ibu dan bapa dan selepas selesai semuanya barulah kami akan memikirkan untuk tinggal di mana selepas ini.
“Kemungkinan besar kami akan tinggal di rumah yang dibeli ibu yang sekarang didiami nenek di Taman Kempas,” katanya.
Jenazah pasangan itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Batu di Merbok, pada 11 Januari lalu.
Baca:
Hasil buat ‘live’ TikTok potong ‘daun emas’, Atok ini raih RM4,500 sebulan
Bahaya rupanya tidur rambut basah, patutlah nombor 3 selalu berlaku tanpa sedar
‘Kamera tak gegar teruk macam Mat Kilau’ – Ini kelebihan dan kekurangan filem Pendekar Awang