Realtime website trackingweb stats

Mengeluh hidup susah, rupanya ada… – Ini kisah ‘Kecik’ duda besarkan tiga anak

Oleh FATIN AQILAH

Jika kita mengeluh hidup susah, rupanya ada yang lebih susah meneruskan hayat malah membesarkan anak dengan salah seorang pasangan sudah meninggal dunia.

Itu yang dapat direnungi daripada kisah seorang penjual burger, ‘Kecik’ di Selangor yang berkongsikan liku-liku hidupnya selepas ditanya seorang pempengaruh baru-baru ini.

Ikuti tulisan Muhamad Harris Nasril ini yang mengajar kita nilai bersyukur dan saling menghormati orang lain:

Beberapa hari lepas, selesai urusan mengambil barangan perubatan untuk bapa saya di satu farmasi, saya singgah di gerai burger Ramly yang terletak di tepi jalan.

Sambil menunggu pesanan, pandangan saya tertarik pada seorang kanak-kanak lelaki berusia sekitar enam tahun.

Dia sedang asyik bermain baling botol air mineral di belakang gerai burger tersebut.

Budak tersebut melempar botol air mineral itu supaya mendarat dengan sempurna dalam keadaan berdiri.

Saya cuba menyapanya, namun dia mengelak, berlari ke belakang.

“Dia tak kenal orang, dia memang akan lari,” jelas penjual burger dengan nada yang lembut.

Di sebelah kanan gerai, ada sebuah kereta Myvi berwarna hitam. Pintu belakang dan but dibuka, membiarkan udara mengalir masuk.

Di dalamnya, seorang kanak-kanak perempuan sedang tekun meneliti sesuatu, mungkin sedang mengerjakan tugasan sekolah.

Kedua-dua anak ini, saya rasa, adalah anak kepada penjual burger Ramly itu. Saya mula berbual, mencari tahu lebih lanjut.

“Jualan burger ada bertambah tak? Dengar kata burger Mcdonald diboikot, jadi orang cari burger Ramly?”

“Saya tak fikir ke arah sana bang. Bagi saya, rezeki kalau Allah nak bagi, itulah rezekinya.” jawab penjual burger.

“Oh, begitu. Boleh bungkus dua burger daging?” pinta saya.

“Ok bang. Abang dari mana?” Dia bertanya kepada saya.

“Oh, saya dari Equine Park, nak ambil barangan bapak ni. Bapak saya sakit strok. Saya memang kerap beli barangan dia setiap bulan di sini,” jawab saya.

“Ayah saya strok juga. Tapi dah lama. 15 tahun lepas dah meninggal. Kemudian ibu saya pula meninggal, kencing manis dan tiroid kata penjual burger.

“Ini dua ni anak ya?” tanya saya, sambil menunjuk kepada kedua-dua kanak-kanak tadi.

“Ya. Anak saya ada tiga. Yang sulung perempuan tu, ini nombor dua lelaki.

“Yang bongsu baru setahun setengah,” jawabnya dengan nada yang berat, seolah-olah membawa kisah yang panjang.

“Maknya kerja?” saya bertanya lagi.

“Orang rumah saya baru meninggal tahun lepas,” jawabnya dengan nada yang mendalam.

“Dia kena kanser, tapi masa tu dia mengandung, ketika itu sudah tahap 4. Tak boleh buat rawatan, kena lahirkan anak dulu,” sambungnya lagi.

“Lepas anak lahir, tak lama selepas itu orang rumah saya meninggal. Sekarang kakak saya tolong jaga yang kecil tu,” sambungnya, matanya kini memandang ke arah daging burger yang sudah masak. Dia terbalikkan burger tersebut sambil menuangkan beberapa perencah.

“Mengenai dua anak saya ini, neneknya ada juga tanya, letaklah di kampung, biar nenek bela, sebulan sekali balik,” ujarnya lagi.

“Tapi saya tak boleh kalau tak lihat anak-anak saya ni bang. Takkan balik kerja lihat dinding sahaja?

“Jadi, saya teruskan hidup, kerja, jaga mereka. Biar sebulan sekali jenguk nenek, bukan kita yang sebulan sekali jenguk anak.”

“Agak berat juga ujian hidup saudara,” kata saya, terharu dengan ketabahan dan kegigihan beliau.

“Betul bang. Saya dah jalani yang paling sakit, jadi saya rempuh sahaja. Hidup perlu diteruskan. Saya ok sahaja.”

“Ya, kadang-kala hidup kita ini bukan untuk kita, tapi untuk anak-anak,” sambung saya.

“Ya bang. Rezeki yang dapat ni pun, rezeki Allah beri kerana anak-anak,” jawabnya dengan senyum yang lebar namun penuh kesedihan tersembunyi.

“Saya Harris, nama saudara?”

“Panggil saja saya Kecik sahaja,” jawabnya sambil tersenyum.

Orangnya memang bertubuh kecil, tapi hatinya sebesar gunung.

Tak lama kemudian, ‘Kecik’ menyampaikan dua bungkus burger daging yang masih panas. Saya membayar dan mengucapkan terima kasih, lalu masuk ke dalam kereta.

Aroma burger daging ramly itu betul-betul menggoda. Saya tak dapat menahan lalu terus membuka pembalut burger itu.

Dengan penuh selera, saya menggigit burger tersebut. Haha!

“Ya Allah, sedap betul,” keluar kata-kata itu spontan dari mulut saya. Rasa daging yang sempurna, lembut, bersama dengan gabungan sayur-sayuran segar dan sos serta mayonis.

(Jika kalian ingin merasai burger ramly Kecik yang sedap ini, gerainya terletak di hadapan Big Pharmacy Sri Serdang.)

Pengalaman berinteraksi dengan ‘Kecik’ telah membuka mata saya kepada realiti kehidupan – bahawa setiap orang memiliki ujian dan cabaran masing-masing.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.”

Ini mengingatkan saya bahawa apa yang kita lihat sebagai kesulitan orang lain mungkin hanya sekelumit dari beban yang sebenarnya mereka pikul. ‘

Kecik’, dengan segala ujian yang dialaminya, menunjukkan kegigihan dan ketabahan yang luar biasa. Kehilangan ayah, ibu kemudian isteri. Perlu pula besarkan anak-anak yang masih kecil tanpa ibu.

Walaupun hidupnya dipenuhi dengan cabaran, dia tetap menjalani kehidupan sehari-hari tanpa mengeluh, menerima apa adanya dan terus maju demi anak-anaknya.

Dalam kehidupan, kita sering terfokus pada masalah kita sendiri, lupa bahawa di luar sana, banyak orang yang mungkin berjuang dengan ujian yang lebih besar, namun tetap berdiri teguh.

Kisah ‘Kecik’ dan gerai burgernya bukan hanya tentang burger yang lazat, tetapi juga tentang kekuatan, ketabahan, dan keindahan dalam menghadapi ujian hidup.

Semoga perniagaan burger ramly Kecik terus maju.

Baca:

‘Daddy werk, baby jangan noti-noti!’ – Pempengaruh ini kongsi dua cara atasi pulih masalah bahasa rosak

“Yang kau pergi ‘sembah’ pelaburan di Telegram tu kenapa?” – Arash Mohammad

Memang betul, dah boleh pusing negeri Pantai Timur guna kereta elektrik, ini buktinya, siap kos cas sekali