Nurul Ain Haron iaitu rakyat Malaysia yang pernah terkandas di Khan Yunis, Gaza sebelum ini sangat sedih selepas masjid tertua dan terbesar di Gaza musnah dibom pengganas Israel.
Beliau berkata, Masjid Omari yang terletak di kota lama Gaza itu merupakan lokasi pertama dilawatinya selepas menjejakkan kaki di Gaza pada 1 Oktober.
“Saya sedih sangat, memang saya cuba untuk kuat tetapi malam ini saya tak dapat kawal perasaan.
“Ya Allah, saya tak boleh tahan kerana Masjid Omari adalah tempat yang paling saya seronok ketika masuk dan menyertai program di sana bersama anak kecil di Gaza,” katanya dalam linangan air mata.
Nurul Ain, 37, sebelum ini mengikut suaminya penduduk Gaza pada 1 Oktober lalu selepas enam tahun berkahwin.
Walau bagaimanapun, wanita berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu berdepan situasi mencemaskan apabila Gaza mula diserang pengganas Israel sejak 7 Oktober.
Pada 13 November lalu, Ain bersama suami, Mohamed A M Shaat yang terkandas di Khan Yunis, selatan Gaza akhirnya selamat dibawa keluar dari wilayah bergolak itu dan dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah.
Selain Masjid Omari yang musnah dibedil pengganas Zionis, Masjid tua Othman bin Qashqar di bandar lama Kota Gaza juga dibom pada 7 Disember lalu.
Susulan itu, ramai penduduk di kawasan kejiranan al-Zaytoun terkorban.
Masjid tersebut dibina pada tahun 620 Hijrah (1220 Masihi) dan merupakan salah satu masjid dan tapak arkeologi tertua di Jalur Gaza.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 104 masjid di Gaza ranap dibedil Israel sejak perang mula tercetus pada 7 Oktober.
Baca:
Air mata kecewa sambut perkahwinan mewah Nazir Razak, anaknya lantang pertahankan ibu
Selepas JDT cipta sejarah raih ‘double quadruple’, rakyat Johor boleh goyang kaki 17 Disember ini
Nekad keluar pukul 3 pagi, ini sebab Danial Akmal lari dari sekolah berasrama penuh