“Pergi tandas, pergi klinik, jalan-jalan atau keluar makan juga ada yang rakam senyap-senyap”.
Itu kata penyanyi Indonesia, Nadin Amizah yang rimas dengan tindakan segelintir yang merakam gambar dan videonya tanpa izin daripadanya.
Artis bertubuh kecil molek berusia 23 tahun itu menyifatkan tindakan merakam setiap gerak-gerinya sebagai menyeramkan dan mengundang perasaan tidak selesa buat dirinya.
Beliau yang popular dengan lagu “Beranjak Dewasa” dan “Bertaut” mengakui sedih kerana tidak lagi dapat menjalani kehidupan seperti manusia normal apatah lagi apabila dirakam tanpa kebenaran tatkala melakukan aktiviti harian.
“Sangat menyedihkan apabila saya dirakam tanpa izin ketika melakukan aktiviti seperti manusia biasa.
“Bayangkan satu ketika saya sedang masuk kereta dengan terburu-buru masih ada yang meletakkan kameranya di cermin kereta. Itu sangat menyeramkan!” ujar penyanyi itu.
Tambah penyanyi “Berpayung Tuhan” itu, dia kebelakangan dia mula diserang perasaan berdebar dan gementar apabila ternampak sekumpulan orang merakam gambar atau videonya dari jauh secara diam.
“Hati saya mula meraung-raung tidak mahu diperlakukan sebegitu. Terasa seperti menjadi tontonan walaupun tidak di pentas nyanyian. Dilema saya. Ada kala perlu perhatian itu, tetapi semakin menyeramkan.
“Bagi saya, cukuplah jika peminat menghargai muzik dan karya saya. Cukup jika meminta izin sebelum mengambil gambar atau video.
“Biarlah mereka menjadi peminat lagu-lagu saya,” tambah pelantun lagu “Seperti Takdir Kita Yang Tulis” itu lagi.
Nadin Amizah yang tahun lalu bergelar graduan Sarjana Muda Sains Komunikasi telah mengadakan konsert sulungnya di Kuala Lumpur pada Februari lalu.