Sebuah kereta ‘melekat’ pada tembok simen dalam parit di ladang dekat Jalan Kampung Rahmat-Sri Gading, Batu Pahat dalam nahas jalan raya yang mengerikan.
Mayat mangsa, Lee Wee Sheng, 39, yang memandu kereta jenis Toyota Corolla hanya ditemui pada jam 10 pagi, 29 November dan dipercayai menemui ajal 12 jam sebelum itu.
Keadaan kereta yang ‘melekat’ itu mulanya disedari seorang pengawal keselamatan ladang sawit terbabit ketika mahu membuka pintu pagar.
“Saya ternampak sebuah kereta terbabas dengan lampu masih menyala. Saya terus menghubungi polis memaklumkan perkara itu,” lapor BH.
Pada masa sama, mayat pemandu kereta itu didapati sudah keras selepas pasukan bomba dan penyelamat berjaya mengeluarkannya daripada tersepit di tempat duduk pemandu.
Pengawal keselamatan yang enggan dikenali berkata, dia menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan kerana menyangka ada orang di dalamnya.
“Tidak lama kemudian, polis tiba di lokasi dan mendapati ada mangsa di dalamnya namun sudah meninggal dunia,” katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari Jalan Kluang menghala ke Jalan Tanjung Laboh, di Batu Pahat.
Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit.
“Mangsa cedera parah di kepala serta organ dalaman, meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat,” katanya.
Mushaddat turut memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan.
Baca:
Teruja mahu makan nasi lemak, aksi spontan juri Masterchef Australia ini mengejutkan
Hati-hati! Rupanya duit RM100 e-dompet Madani tak boleh diguna untuk 10 perkara ini