Sebuah restoran di negara jiran Singapura terpaksa meningkatkan tawaran gaji hingga SG $3,500 (RM11,000) untuk mencari pekerja bagi tugas mencuci pinggan mangkuk kerana jawatan itu tidak dapat diisi untuk tempoh yang lama disebabkan tawaran gaji yang rendah sebelum ini, lapor MustShareNews.
Kejadian ini juga membuatkan pemilik restoran terpaksa membasuh sendiri pinggan mangkuk di restoran tersebut.
Pengusaha Restoran Ishinomaki Grill & Sake di Orchard Road, Chen Weixin, memberitahu Shin Min Daily News bahawa warga Malaysia yang bekerja di sana tidak menerima tawaran dengan tambahan gaji sebanyak SG$50 (RM160) sehari.
Tetapi segalanya berubah apabila dia menawarkan gaji baru sebanyak SG $3,500 sebulan – jumlah yang setara dengan gaji minimum untuk graduan universiti – hanya pada masa itu Weixin berjaya mendapatkan pekerja Malaysia.
Selain itu, tiada penduduk Singapura yang sanggup menerima tawaran tersebut, jadi dia terpaksa bergantung kepada pekerja asing dari Malaysia.
Namun kerana wabak COVID-19, banyak rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air. Tambahan pula, terdapat isu buruh dengan pelonggaran peraturan Covid-19 sejak 29 Mac dan pengetatan dasar buruh asing di sana.
Shin Min Daily News juga melaporkan bahawa beberapa perniagaan F&B terpaksa menawarkan gaji sehingga SG $4,000 (12,000) sebulan untuk tugas membasuh pinggan, dan ada yang menawarkan bonus sebanyak SG $3,000 (9,500).
Seorang pengurus makanan dan minuman memberitahu media Singapura bahawa mereka menawarkan gaji asas SG $2,600 (RM8,314) dengan bonus penerimaan pekerja sebanyak SG $2,000 (RM6,400) dan bonus prestasi yang boleh mencecah sehingga SG $1,000 (RM3,200) sebulan.
Walau bagaimanapun, mereka masih menghadapi masalah kekurangan kakitangan.
Lambert Chen, salah seorang pemilik Iko Restaurant and Bar di Neil Road, memberitahu AsiaOne bahawa pekerjaan ini memerlukan kerja keras, dan oleh itu hanya segelintir penduduk Singapura yang sanggup untuk mengambil peranan ini.
Ketua pegawai eksekutif Restoran Tung Lok, Andrew Tjoe, menyatakan bahawa mereka telah mengontrak sebuah syarikat pembersihan sepuluh tahun yang lalu untuk menangani isu tersebut, membayar mereka antara $3,800 hingga $4,000 bagi setiap pekerja, dilaporkan oleh Shin Min Daily News.
Untuk catatan, cabaran dalam mengupah pekerja untuk mencuci pinggan bukanlah perkara baru dalam industri F&B di Singapura dan ia sudah menjadi perbualan hangat sejak tahun 2012 lagi.
Walaupun gaji yang ditawarkan tinggi, namun tidak ada sesiapa yang sanggup untuk bekerja di bahagian belakang dapur.
Baca:
Ahli KWSP dibenar guna akaun 2 beli insurans untuk keluarga
Malaysia akan terima bangunan tertinggi baharu? Lebih tinggi dari Merdeka 118
Malaysia akan terima bangunan tertinggi baharu? Lebih tinggi dari Merdeka 118