Realtime website trackingweb stats

5 negara ini rupanya ada cuti wanita sakit haid teruk, Malaysia bila lagi?

Oleh NURAIMAN

Sakit haid yang teruk atau ‘dismenorea’ dialami sebahagian wanita sehinggakan ada negara benarkan pekerja ambil cuti jika terkesan dengan datang bulan atau mengalami senggugut.

Di Malaysia, penyelidikan terbaharu mengenai ‘dismenorea’ dan wanita bekerja datang daripada YouGov pada 2017 yang menunjukkan 86 peratus wanita mengatakan mereka mengalami sakit haid.

Dalam kalangan wanita yang mengalami sakit haid dan pernah bekerja, 81 peratus memaklumkan ia menjejaskan keupayaan mereka untuk bekerja.

Jadi, bagaimana pengalaman negara luar yang prihatin dengan kitaran biologi wanita ini? Ini 5 negara yang sudah pun memperuntukkan cuti sakit haid:

1. Jepun

Undang-undang sejak 1947 menyatakan syarikat mesti bersetuju untuk memberi wanita cuti haid jika mereka memintanya, selagi mereka memerlukannya.

Majikan tidak perlu membayar gaji ketika mereka cuti haid, tetapi kira-kira 30 peratus syarikat Jepun menawarkan gaji penuh atau sebahagian, menurut tinjauan Kementerian Buruh pada 2020.

Bagaimanapun, tidak ramai wanita mengambil cuti itu. Tinjauan ke atas sekitar 6,000 syarikat mendapati hanya 0.9 peratus pekerja yang layak mengambil cuti haid.

2. Korea Selatan

Wanita berhak mendapat satu hari cuti haid tanpa gaji setiap bulan. Majikan yang enggan mematuhi berdepan denda sehingga 5 juta won (AS$3,844 atau RM16,980.86).

Berdasarkan Tinjauan 2018, pengambilan cuti itu lebih tinggi berbanding di Jepun, dengan kira-kira lebih kurang 19 peratus wanita mengambil cuti terbabit.

3. Taiwan

Akta Kesaksamaan Gender dalam Pekerjaan memberi wanita tiga hari cuti haid setahun, yang tidak ditolak daripada 30 hari cuti sakit biasa yang ditetapkan.

Ia bermakna, wanita hanya boleh mengambil satu hari dalam mana-mana bulan tertentu. Seperti cuti sakit, pekerja yang bercuti haid hanya menerima 50 peratus daripada gaji mereka.

4. Indonesia

Indonesia sejak 2003 lagi sudah meluluskan undang-undang yang memberi wanita hak untuk dua hari cuti haid berbayar setiap bulan, tanpa memberi notis awal.

Namun, peruntukan itu mengikut budi bicara. Ramai majikan membenarkan hanya satu hari dalam masa sebulan.

Majikan lain pula ada yang langsung tidak memberikan cuti haid, sama ada kerana mereka tidak mengambil berat mengenai undang-undang atau memilih untuk mengabaikannya.

5. Zambia

Negara ini meluluskan undang-undang pada 2015 yang membenarkan wanita mengambil cuti kerja sehari ketika haid, tanpa memberi notis atau pengesahan doktor.

Walaupun langkah itu diterima dan disokong secara umum, tidak semua majikan dengan rela hati mematuhi undang-undang mengenai apa yang secara diam-diam disebut sebagai ‘Hari Ibu’.

Tetapi, digalakkan oleh kesatuan sekerja, wanita di Zambia mula menggunakan hak mereka.

Di Malaysia, kerajaan disaran mewujudkan cuti haid kepada pekerja wanita yang benar-benar terkesan akibat masalah itu bagi memastikan golongan terbabit mendapat rehat mencukupi dan tidak menjejaskan produktiviti mereka.

Ketua Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mazila Ghazali, berkata ini kerana ada wanita yang akan mengalami satu hari kritikal dalam kitaran haid termasuk senggugut, demam dan migrain.

Jelasnya, bagi sesetengah wanita, ada yang sehingga tidak boleh bangun langsung kerana masalah senggugut teruk yang dihadapi namun ada juga tiada masalah langsung ketika haid.

“Kesakitan yang dihadapi itu bergantung kepada individu sendiri, namun bagi yang sakit terlalu teruk hingga tidak dapat bekerja, mereka tiada pilihan terpaksa mengambil cuti sakit atau cuti rehat diperuntukkan.

“Namun, dengan adanya cuti haid sekurang-kurangnya tiga hari setahun, pekerja yang mempunyai masalah boleh mengambil cuti yang disediakan itu,” kata Dr Mazila lagi.

Baca:

Highway WCE dah buka, hanya 15 minit ke Kapar, tol percuma 43 hari

“Dia memang cakap nak hidup sampai umur 43 tahun sahaja” – Ina Naim dedah pesanan

Kaya vitamin dan mineral tapi kerap diabai, ini 4 waktu sesuai makan buah-buahan