Realtime website trackingweb stats

Hebatnya anak Melayu menggeluncur hampir 20 meter tanpa cedera, mat saleh ini dah kagum lebih 100 tahun dulu

Oleh NURAIMAN

Lebih 100 tahun dulu, orang kulit putih atau kita panggil mat saleh rupanya pernah kagum melihat hebatnya anak Melayu menggeluncur di tempat curam hampir 20 meter tingginya tanpa cedera.

Frank Swettenham dalam bukunya ‘Malay Sketches’ yang mula diterbitkan pada tahun 1884, takjub dengan kebolehan anak Melayu ketika itu mendaki dan berkelah di air terjun.

Jangan tak tahu, beliau ini adalah antara pegawai British yang menolak Malayan Union.

Berlatar belakangkan masyarakat Melayu Perak, edisi terjemahan ke bahasa Melayu pula diterbitkan oleh Universiti Malaya (UM) pada tahun 2003.

Apa antara kata Frank Swettenham berkenaan cara orang Melayu khususnya di Perak mengisi masa pagi yang baginya adalah luar biasa dan baginya “baru” dan bahaya?

“Orang-orang Melayu Perak kadang-kadang bersuka ria dengan sejenis kesukaan yang saya percaya hanya biasa di kalangan mereka sahaja.”

Hampir 140 tahun lalu, Residen Jeneral British yang pertama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu itu terpesona melihat bagaimana orang Melayu Perak mengisi masa lapang hingga dia berpendapat orang Barat boleh mencontohinya:

“….kegiatan masa lapang cara Timur ini boleh disesuaikan dengan mudah dan jayanya di Barat.”

Sebabnya, kata Swettenham, “bukan sahaja disebabkan permainan ini sesuatu yang baru dan menarik, tetapi pergerakannya menyegarkan, ada pula unsur bahaya…”

Apa yang orang Melayu Perak buat hingga Swettenham menceritakan secara terperinci dalam satu bab?

Ceritanya, suatu pagi “seratus hingga dua ratus orang – lelaki, perempuan, dan kanak-kanak” berjalan beberapa kilometer menyusuri denai hutan hingga ke kaki bukit kemudian mendaki bukit curam “beratus-ratus kaki tingginya”.

Kita yang sekarang membacanya bagaikan ada pesta pula.

Tiba di satu kawasan air terjun, kata Swettenham, rombongan yang berpakaian berwarna-warni itu duduk berehat sekejap sahaja selepas mendaki kemudian mengutip kayu api, menghidupkan api dan memulakan kerja-kerja memasak.

Selepas itu, tibalah saat yang mereka nantikan – “menggeluncur” – menggeluncur ke bawah mengikut air terjun terus berdebur ke dalam danau di bawah.

Swettenham nampaknya begitu terkesima melihat budak-budak lelaki memanjat batu yang curam dan licin untuk pergi ke puncak air terjun untuk menggeluncur ke bawah sepanjang 60 kaki tinggi (18 meter).

Tidak cukup dengan yang lelaki, yang perempuan pun akhirnya ikut sama walaupun ada yang mula-mulanya agak takut-takut, tulis Swettenham lagi.

Mereka pun dengan gelak ketawa mengeluncur dalam kumpulan berempat, berenam, dan berlapan tiap-tiap satu dalam dua, tiga atau empat barisan.

“…mereka bermula bersama-sama dan dengan gelak ketawa dan cuba-cuba hendak menolong satu sama lain tetapi tidak berjaya, mereka terjun merempuh masuk ke dalam danau… bergelutan dan menjerit-jerit keseronokan.”

Pegawai penjajah berkenaan bahkan memperincikan cara untuk memahami cara permainan itu sebab dia hairan bagaimana mereka dilihat tidak cedera walaupun jatuh berdebur di kolam air terjun sampai bertimpa-timpa antara satu sama lain.

“Yang hairannya jarang-jarang sekali orang mendapat kecederaan, kalau ada pun tidaklah berat benar – tercalar atau bengkak sedikit di kepala, yang paling teruk pun hanyalah kehilangan sebatang gigi, kalau lebih berhati-hati sedikit, itu pun mungkin tidak berlaku langsung.”

Tulisnya lagi, tiba jam 1 petang, kumpulan anak-anak Melayu itu berhenti, bersalin pakaian kering dan menjamah makanan yang disajikan.

Apabila “bayang-bayang pun semakin memanjang”, mereka mula beredar pulang dengan “menuruni kawasan licin tadi, merentas padang yang bermandi matahari petang, masuk pula merentas hutan ke arah tempat pertemuan di mana mereka semua berkumpul pada pagi tadi dan dari situ mereka pulang ke rumah masing-masing.”

Tak sangka kita pada hari ini selepas berlalunya kemeriahan di air terjun itu lebih satu abad lalu, dapat juga tahu apa antaranya aktiviti datuk moyang kita ketika zaman mereka kanak-kanak dan remaja!

Baca:

Buah jadi lambang tanah air, ini 5 fakta mengapa tembikai jadi simbol perjuangan Palestin

“Saya fikir tentang mati, hati memberontak, saya nak berhenti muncul di khalayak”- Diana Amir

“Saya bukan nak tegakkan apa-apa, nak unfollow saya tak boleh halang” – Uqasha Senrose