Seorang lelaki di wilayah yang sudah lebih sebulan dibedil pengganas walaupun mengalami ‘slipped disc’ (masalah cakera tergelincir) masih beramal dengan membawakan air percuma kepada penduduk Gaza.
Kata-kata terpapar pada papan tandanya mengharukan apabila mengetahui lelaki berkenaan rupanya mengambil air itu dari tempat terpencil dengan menggunakan keldai.
“Air ini percuma, bukan untuk dijual. Sesiapa yang minum, berselawatlah ke atas Nabi Muhammad SAW.”
Demikian ungkapan tertera pada papan tanda itu seperti dikongsikan Pengurus Besar Humanitarian Care Malaysia (MyCare) Gaza Dr Ziad M M Shehada.
Dr Ziad berkata, beliau kagum dengan semangat lelaki berkenaan yang setia berdiri lama di tepi jalan untuk menyalurkan air minuman percuma kepada penduduk Gaza yang dihujani bom tanpa henti itu.
Katanya, lelaki berkenaan berdepan bahaya untuk mengambil air itu sebelum menawarkannya secara percuma kepada orang ramai.
“Apa yang saya saksikan betul-betul buat saya tersentuh. Ketika saya berjalan di satu kem pelarian, saya terjumpa seorang lelaki yang mengalami masalah cakera tergelincir (slipped disc).
“Walaupun dalam keadaan sedemikian, lelaki ini berkorban membawa air dari sumber yang jauh kerana memahami kesulitan dialami orang ramai dalam mendapatkan air minuman,” katanya dalam catatan di Facebook (FB) beliau.
Menurut beliau, penduduk di tanah airnya dalam keadaan amat sukar untuk mendapatkan bekalan air bersih pada masa ini.
“Orang yang lalu lalang di kawasan itu, tidak kira lelaki atau perempuan, berkumpul untuk mendapatkan air minuman.
“Inilah realiti indah kerjasama, kasih sayang dan persaudaraan yang dikongsi rakyat Palestin,” kata Dr Ziad lagi.
Baca:
“Bagus PLKN, boleh buka otak” – Nourul Depp tawar diri nak jadi jurulatih PLKN
Ini 4 cara mahu tahu kereta ‘second hand’ pernah terendam banjir atau terlibat kemalangan
Bil elektrik tidak lagi beratus ringgit, amalkan 5 tips berjimat guna penyaman udara