Realtime website trackingweb stats

Bertekak pun tak guna, benda dah jadi, ikuti 9 perkara patut buat kalau kemalangan jalan raya

Oleh AHMAD ISMAIL

Kadang-kala kita boleh saksikan ada orang bertekak di jalan raya gara-gara terlibat dalam kemalangan sampai mengganggu kelancaran trafik malah mengundang risiko berlakunya lagi nahas.

Benda dah jadi, kereta pun dah remuk tak pun kemek. Sia-sia saja bergaduh. Silap-silap boleh jadi kes bertambah berat pula kalau ada yang dah mula naik tangan atau kaki.

Hanya bersyukurlah tiada kecederaan serius dan nyawa masih ada. Benda boleh bincang buat apa terpekik mencari salah satu sama lain.

Ikuti 9 panduan ini sejurus berlakunya kemalangan jalan raya:

1. Bertenang dan periksa diri untuk sebarang Kecederaan

Tenangkan diri, beristighfar, tarik nafas dalam-dalam. Nilai keadaan di dalam kereta anda terlebih dahulu. Periksa sama ada terdapat sebarang kesan kecederaan pada diri anda dan juga orang lain yang berada di dalam kereta.

2. Alihkan kereta ke lokasi selamat

Hidupkan segera lampu kecemasan jika kerosakan kereta tidak terlalu teruk dan masih boleh dipandu. Cuba alihkan kereta ke bahu jalan atau lorong kecemasan untuk mengelakkan kesesakan jalan raya atau daripada berlakunya lagi kemalangan lain.

3. Periksa bahagian luaran kereta

Keluar dari kereta dan jika didapati ada mengalami kecederaan teruk, segera hubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan. Setelah itu, periksa tahap kerosakan pada kereta dengan berjalan mengelilingi kereta anda dan kenal pasti bahagian yang rosak.

4. Ambil gambar, saling bertukar maklumat

Sebagai bukti, ambil gambar kerosakan pada kereta akibat perlanggaran tadi. Ambil juga gambar lain seperti lokasi kemalangan dan kesan tayar pada jalan raya. Ini penting bagi mengelak anda dipersalahkan atas nahas yang bukan disebabkan oleh anda.

5. Dapatkan butiran pemandu dan kenderaan yang terlibat

Paling penting dapatkan senarai maklumat dan butiran pemandu dan kenderaan yang terlibat dalam nahas:

– Plat nombor kereta
– Model dan warna kereta
– Nama pemandu, alamat, dan nombor telefon
– Nombor kad pengenalan pemandu dan nombor lesen memandu
– Nama saksi, alamat, dan nombor telefon

6. Persetujuan dengan pihak terlibat

Dapatkan persetujuan untuk tindakan seterusnya dengan pemandu yang berlanggar tadi bergantung kepada tahap kemalangan. Dalam kebanyakan kemalangan yang tidak melibatkan kerosakan teruk, pemandu biasanya akan bersetuju untuk membayar ganti rugi tanpa perlu melibatkan polis.

Namun, jika kos pembaikan anda lebih rendah daripada tahap yang telah ditetapkan, anda mungkin tidak dapat membuat tuntutan insurans. Jika tahap kerosakan terlalu teruk, anda harus membuat laporan polis.

7. Buat laporan polis

Jika rundingan penyelesaian ganti rugi gagal dicapai, buat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan. Bawa bersama lesen memandu dan kad pengenalan anda.

Pegawai yang bertugas di balai polis akan mencatatkan butiran kemalangan dan juga butiran peribadi anda kemudian menentukan siapa yang bertanggungjawab atas kemalangan dan akan mengeluarkan saman. Saman itu perlu dibayar dalam masa sebulan.

8. Tuntutan insurans

Hubungi ejen insurans atau talian bantuan insurans anda secepat mungkin jika anda perlu membuat tuntutan insurans. Jika anda didapati bersalah dalam kemalangan itu, adalah lebih baik jika anda mengelak daripada membuat tuntutan insurans (jika kerosakan tidak teruk) kerana ia akan menjejaskan Diskaun Tanpa Tuntuan anda (No-Claim Discount – NCD).

Pihak insurans akan menanyakan soalan mengenai kemalangan itu dan akan menasihati serta membantu mengatur trak tunda untuk menghantar kereta anda ke bengkel panel yang terdekat. Kegagalan menghantar kereta anda ke bengkel panel akan menyebabkan anda tidak dapat membuat sebarang tuntutan atas kerosakan akibat kemalangan tersebut.

Mereka juga akan menghantar pelaras kerugian untuk menilai kerosakan pada kenderaan anda dan untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab atas kemalangan. Apabila keputusan sudah dibuat, syarikat insurans akan dimaklumkan tentang jumlah yang anda boleh tuntut daripada kemalangan itu. Tuntutan boleh dilakukan sama ada melalui syarikat insurans anda atau daripada syarikat insurans pihak yang satu lagi.

9. Hantar kereta ke bengkel panel

Jika anda bercadang untuk melakukan tuntutan insurans untuk kerosakan yang dialami oleh kereta anda, anda perlu menghantar kereta ke bengkel panel yang telah ditetapkan oleh syarikat insurans anda. Jika anda tidak berbuat demikian, tuntutan insurans anda mungkin tidak akan diluluskan.

Baca:

Heboh digosip dengan Syamsul, Irene akhirnya buka mulut dedah perkara sebenar

“Saya terpaksa tumpang polis” – Ezad dedah punca pulang awal selepas GV

“Yang penting saya gembira sekarang” – Fyna Jebat cerita hubungan terkini dengan Zainal Abidin