Kegemaran Rasulullah SAW dari segi amalan dan diet pemakanan mungkin ramai daripada kita tidak ambil kisah. Selain kurma yang memang diketahui khasiatnya, banyak lagi makanan disukai Nabi Muhammad.
Wajarlah benar kita contohi dan amalkan sunnah pemakanan Rasulullah. Sampai bila Malaysia yang ramai orang Islam terus jadi juara penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, obesiti dan sakit jantung.
Makan pakai belasah saja dari celik mata sampai ke tengah malam malah terlajak hingga 2, 3 pagi mana tidak mengundang 1,001 jenis penyakit.
Jom semak 5 jenis bahan yang masuk dalam sistem pencernaan Rasulullah SAW:
1. Air kosong
Paling murah dan semestinya sihat. Bukannya asyik teh tarik mamak, milo pekat atau kopi kedai jenama menyokong Israel yang masuk ke mulut.
Air kosong yang mencukupi dalam tubuh penting sesuai dengan fitrah badan manusia yang terdiri daripada 70 peratus air.
Pengambilan air kosong mampu mencegah bahan toksik daripada merebak ke sel lain dan merendahkan peluang mendapat jangkitan penyakit.
Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, “Adapun Rasulullah SAW bernafas sebanyak tiga kali ketika minum. Baginda bersabda: “Itu lebih melegakan, bersih dan bermanfaat.” Anas berkata: Aku bernafas sebanyak tiga kali ketika minum.” (Hadis Riwayat Muslim)
2. Susu
Minuman susu bukan untuk kanak-kanak dan orang tua, sebaliknya sesuai untuk semua peringkat usia berdasarkan keperluan badan individu.
Terdapat banyak nutrisi terkandung di dalam susu yang mampu menyeimbangkan corak pemakanan seharian dan boleh dijadikan sajian gantian.
Susu sebenarnya membantu mengawal tekanan darah, mencantikkan rambut, kulit, imunisasi badan, proses penghadaman dan tumbesaran.
Namun, mereka yang mempunyai masalah buah pinggang jangan minum berlebihan kerana boleh memudaratkan lagi kesihatan buah pinggang dan keseimbangan elektrolit dalam badan pesakit.
Dalam sebuah hadis, Abdullah bin Abbas RA berkata bahawa Nabi SA bersabda,
“Tidak aku ketahui satu minuman yang dapat menggantikan makanan selain daripada susu. Sesiapa dalam kalangan kamu yang minum susu, hendaklah dia mengucapkan: ‘Allahumma barik lana fihi wazidna minhu’ (Ya ALLAH berkatilah kami dengan apa yang ada di dalamnya dan tambahkan buat kami daripadanya),
“Manakala sesiapa yang makan makanan, hendaklah dia mengucapkan: ‘Allahumma barik lana fihi wa at’imna khairan minhu’ (Ya ALLAH berkatilah kami dengan apa yang ada di dalamnya dan berilah kami makanan yang lebih baik daripadanya).” (Hadis Riwayat Ahmad)
3. Barli
Barli adalah sejenis bijirin yang kaya dengan fiber, vitamin dan mineral yang memberikan banyak khasiat untuk kesihatan.
Memakan makanan yang kaya bijirin penuh boleh mengurangkan risiko kegemukan, kencing manis, penyakit jantung, sebahagian jenis barah dan masalah kesihatan kronik yang lain.
Sarjana Islam, Imam at-Tirmizi dalam karyanya, al-Syamail al-Muhammadiyyah berkata, antara makanan Rasulullah SAW adalah barli.
Sebuah hadis diceritakan dalam sahih Bukhari pula berbunyi:
“Jika ada seseorang keluarganya meninggal dunia lalu kaum wanita datang berhimpun di rumah dan setelah itu mereka pulang ke rumah mereka masing-masing, kecuali keluarga dan orang-orang terdekatnya maka dia (Aisyah) memerintahkan untuk mengambil seperiuk bubur talbinah untuk dimasak diambil roti untuk dipotong kecil-kecil dan bubur itu dituangkan ke atasnya.
Aisyah berkata, “Makanlah. Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “bubur Talbinah (bubur campuran tepung barli dan gandum) dapat melegakan hati dan menghilangkan perasaan dukacita.” (Hadis Riwayat Bukhari)
4. Tembikai
Tembikai juga antara makanan yang digemari oleh Rasulullah SAW. Buah yang juga lambang Palestin ini lantaran gabungan warna hitam pada biji, merah, putih dan hijau itu mengandungi mineral dan fitokimia seperti likopena, vitamin C dan beta karotena.
Malah, buah yang mengandungi lebih daripada 90 peratus air ini membekalkan jumlah antioksidan yang tinggi berbanding tomato, strawberi atau jambu batu.
Daripada Aisyah RA, “Adapun Nabi SAW pernah memakan buah tembikai bersama kurma basah.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
5. Minyak zaitun
Nabi SAW bersabda, “Makanlah minyak zaitun, dan sapulah kulitmu dengannya kerana ia datang dari pohon yang diberkati.” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Itulah sebabnya kita disyorkan memulakan hari dengan minum satu sudu minyak zaitun setiap pagi. Minyak zaitun mempunyai asid dipanggil asid oleik yang memberikan rasa kenyang dan menggalakkan rasa kenyang sekaligus membantu mengawal berat badan.
Malah, kata pakar, detoksifikasi menggunakan minyak zaitun dan lemon mempunyai manfaat untuk sistem penghadaman dalam jangka pendek.
Minum minyak zaitun juga memudahkan proses membuang air besar sekaligus melegakan sembelit yang dialami kira-kira 34 peratus orang dewasa berumur 60 tahun ke atas.
Baca:
Heboh digosip dengan Syamsul, Irene akhirnya buka mulut dedah perkara sebenar
“Saya terpaksa tumpang polis” – Ezad dedah punca pulang awal selepas GV
“Yang penting saya gembira sekarang” – Fyna Jebat cerita hubungan terkini dengan Zainal Abidin