Seorang remaja cedera di perut melibatkan tisu lembut selepas ditendang ayahnya sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.
Rupanya hasil ‘urine test’ terhadap ayah pelajar tingkatan tiga itu amat mengejutkan.
Hasil ujian air kencing ke atas suspek berusia 48 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Malah, semakan polis mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod lampau membabitkan satu kes jenayah dan tujuh kes dadah.
Sebelum itu, ayah mangsa yang merupakan seorang pemotong rumput disyaki memukul anak lelakinya hingga cedera di sebuah rumah di Kampung Pasir, Hulu Kelang, 4 November.
Insiden ganas itu berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika mangsa cuba meleraikan pergaduhan yang berlaku antara kedua-dua ibu bapanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, pergaduhan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek kerana anaknya itu menggunakan motosikal milik isterinya.
“Pengadu cuba menghalang ibu dan ayahnya daripada terus bergaduh dan tiba-tiba suspek menendang bahagian perut serta menarik rambut anaknya.
“Suspek turut menampar muka mangsa dan apabila ibu mangsa cuba meleraikan tindakan suspek, suspek terus menolak mangsa,” katanya dalam kenyataan, 5 November.
Mohd Azam memaklumkan pihaknya menahan bapa pengadu di jalan susur keluar ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), kira-kira jam 3 petang, 4 November.
Beliau berkata, suspek kini direman empat hari hingga 8 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Baca:
Dah kenapa pula kena tanggung di Padang Mahsyar? Ini jawapan Uqasha
Ikon fesyen terkejut dituduh berhibur di kelab malam pakai ‘hoodie’, ini respon Fazura
Ayah mula nampak lain sejak kahwin dengan Aunty Angeline – Anak Sabri Yunus