Seorang wanita yang menghidap kanser payudara mengalami trauma selepas menjadi mangsa gangguan seksual daripada majikannya yang juga dikenali sebagai ‘ayahanda’ di Selangor.
Ana, yang berusia 49 tahun, mengenali lelaki berusia 70-an itu semasa bekerja di syarikat yang dimiliki oleh lelaki tersebut pada tahun 2021.
Walau pun lelaki itu sudah dikenali dalam kalangan pekerja kerana suka membuat komen berunsur lucah, ia kerap dianggap sebagai ‘gurauan orang tua’ dari seorang yang berusia. Ana kemudian meletakkan jawatan disebabkan masalah kesihatan anaknya.
“Sejak tahun lalu saya mula bekerja semula dengan lelaki itu tetapi sebagai setiausaha di sebuah persatuan Islam dan dia sebagai pengerusi. Saya mulanya berasakan lelaki itu tidak berani membuat perkara bukan-bukan atas nama persatuan.
“Malangnya tabiat miang lelaki itu masih sama, dia cuba pegang tangan, dagu dan bahagian belakang namun saya sering menjauhkan diri dan mengelak daripada berada berdua di pejabat.
“Namun sekitar Mei, lelaki itu lebih agresif dan bertindak meraba buah dada saya daripada belakang ketika di pejabat,” katanya kepada Harian Metro.
Ana yang merasakan harga dirinya tercalar lalu membuat laporan polis dan meminta rakan sekerja yang didakwa yang turut menjadi mangsa serangan seksual oleh suspek, untuk melaporkan kejadian yang sama.
Ana mengakui bahawa dia pada awalnya berasa takut untuk membuat laporan, tetapi dengan sokongan rakan-rakan dan ahli persatuan, dia mendapatkan keberanian untuk melangkah.
Namun, kebanyakan rakan sekerja enggan melaporkan kejadian serupa kerana menganggap lelaki tersebut seperti ‘bapa-bapa’ atau ‘datuk-datuk’, dan ada yang merasakan perbuatannya hanyalah gurauan.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi Malaysia), Datuk Norashikin Abd Ghani, juga menyatakan bahawa pertubuhannya telah menerima beberapa aduan mengenai gangguan seksual daripada individu yang dianggap seperti figura bapa.
“Kita percaya ada ramai mangsa gangguan seksual membabitkan golongan ayahanda kerana senario itu memang wujud dalam organisasi tertentu.
“Namun, kebanyakan mereka tidak berani tampil atas beberapa alasan termasuk mahu menjaga air muka ayahanda itu, takut diugut, dan dibuang daripada organisasi,” katanya ketika ditemui, di sini.
Norashikin menegaskan bahawa perkara sebegitu sepatutnya tidak berlaku. Ia adalah tanggungjawab ayahanda untuk menjaga anak buahnya, terutamanya wanita.
“Mereka ini bukan sahaja memegang jawatan sebagai ketua organisasi tetapi juga membawa imej pertubuhan diwakili yang berteraskan agama Islam. Tidak sepatutnya perkara sebegitu berlaku.
“Justeru, mana-mana wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual kepada ayahanda-ayahanda ini diminta tampil membuat aduan dan laporan supaya pelakunya boleh diambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Baca:
Dah kenapa pula kena tanggung di Padang Mahsyar? Ini jawapan Uqasha
Ikon fesyen terkejut dituduh berhibur di kelab malam pakai ‘hoodie’, ini respon Fazura
Tiada tapak kaki kanan, kaki kiri pula ada tiga jari, tapi sikap positif OKU cilik ini mengagumkan