Kecoh apabila dikatakan keadaan Mekah yang menghijau sebagai tanda akhir zaman. Memang apabila bercakap tentang tanah di Arab, apa yang terlintas ialah keadaan padang pasir dan gurunnya yang luas.
Gurun Arab contohnya, adalah gurun terluas di benua Asia dan keempat terbesar di dunia dengan keluasan 2.33 juta kilometer persegi yang merentasi Yaman, Teluk Parsi, Oman, Jordan dan Iraq.
Namun, hari ini, lembah gersang dan kering kontang mula menghijau dan ditumbuhi dengan tumbuh-tumbuhan yang subur bersama aliran sungai yang menyegarkan.
Keadaan ini sekaligus mengingatkan kita kepada sabda Nabi Muhammad SAW bahawa salah satu daripada tanda kiamat adalah Semenanjung Arab akan menjadi padang rumput dan sungai yang mengalir.
Ikuti pendapat MUHAMMAD SYAFIQ ini yang bagaimanapun menyifatkan sangat tidak sesuai untuk mengaitkan keadaan Mekah yang menghijau sebagai tanda akhir zaman:
Arab Saudi memang panas dan berpadang pasir tetapi tidak kesemua kawasan berpadang pasir dan cuacanya panas terik sepanjang tahun.
Ia merupakan negara subtropika. Jadi, selain mengalami musim panas, ia juga turut mengalami musim sejuk.
Ketika musim panas, terdapat kawasan yang mencapai suhu melebihi 50°C manakala ketika musim sejuk, suhu boleh jatuh sehingga bawah 0°C di sebahagian kawasan.
Setiap tahun semasa musim sejuk, bahagian barat Arab Saudi berpotensi menerima taburan hujan yang tinggi berbanding kawasan lain di negara tersebut terutama pada bulan Disember dan Januari. Banjir kilat dan hujan batu kerap berlaku ketika ini.
Keadaan persekitaran yang sesuai menggalakkan pertumbuhan rumput-rumput yang menghijau. Rumput-rumput ini muncul melalui percambahan biji benih yang tersebar melalui angin, haiwan dan juga manusia ke kawasan itu.
Apabila keadaan persekitaran tidak sesuai untuk pertumbuhan, benih akan melalui fasa dorman sehingga tiba masa yang sesuai barulah ia boleh bercambah.
Salji dan pembentukan fros juga boleh berlaku di kawasan beraltitud tinggi seperti di bahagian utara Arab Saudi seperti Tabuk, Turaif serta pergunungan seperti di bahagian barat daya.
Walau bagaimanapun, keadaan muka Bumi menghijau yang ditumbuhi rumput-rumput tersebut tidak akan berkekalan sepanjang tahun di kebanyakan kawasan kerana apabila cuaca musim panas mula mendominasi, rumput-rumput akan kembali mengering dan keadaan persekitaran akan kembali tandus. Begitulah kitarannya yang berulang-ulang.
Jika ingin mengaitkan Mekah menghijau baru-baru ini dengan hadis Nabi berkenaan tanda akhir zaman yang menyatakan tanah Arab akan kembali menghijau sangat tidak sesuai.
Ini adalah disebabkan kehijauan tersebut tidak berkekalan dalam tempoh masa yang panjang tetapi kita boleh lihat tanda yang dimaksudkan dari sudut lain:
1. Faktor semulajadi
Contohnya adalah iklim. Iklim sifatnya tidak statik. Ia boleh berubah-ubah atas banyak faktor dalam tempoh masa tertentu.
Merujuk hasil kajian saintis, tanah Arab pernah menghijau dan tandus berkali-kali. Setiap kitaran mengambil masa yang sangat panjang.
Pada zaman kita ini, tanah tandus dan gersang, ribuan tahun akan datang berkemungkinan ia akan kembali menghijau dan sangat subur.
*Perlu diingat, pasca revolusi perindustrian, manusia juga memainkan peranan besar dalam proses perubahan iklim. Hasil pelepasan gas rumah hijau, suhu purata bumi semakin cepat meningkat, corak cuaca juga akan terganggu. Cuaca yang lebih ekstrem dan sukar dijangka berpotensi akan lebih kerap berlaku seperti hujan yang lebih kerap di kawasan yang sebelumnya kurang hujan dan sebagainya.
2. Faktor aktiviti manusia
Sejak kebelakangan ini, sebahagian tanah tandus di Arab sedang giat diusahakan menjadi ladang-ladang pertanian hasil kemajuan mewujudkan sumber air untuk bertani melalui pelbagai cara.
Ladang pertanian setiap tahun semakin meluas disebabkan tanah yang disuburkan sehingga ia dapat disaksikan dari angkasa lepas.
Selain itu, di Arab Saudi sendiri terdapat projek besar-besaran menanam pokok bagi menghijaukan landskap negara tersebut agar menjadi lebih mesra iklim.
Faktor-faktor yang dinyatakan boleh mempercepat proses tanah Arab kembali menghijau.
Namun, faktor sebenar bagaimana tanah Arab itu kembali menghijau hanya Allah yang tahu. Cepat atau lambat kiamat besar pasti akan berlaku.
Begitu juga dengan kiamat kecil (kematian). Tidak perlu muncul tanda baru meningkatkan amal ibadah kita. Sentiasa persiapkan diri.
Baca:
“Suami orang mana yang saya dah main tu?”- Shakilla berang dituduh berzina
“Jangan main-main dengan darah rakyat Palestin”- Netizen berang live TikTok Da’i Syed
Padah enggan guna laluan motor, kereta pula ‘pancung’ dua lorong, patut JPJ pun berang