Seorang remaja autisme berusia hanya 13 tahun kini sudah bergelar ‘hafiz’ selepas menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 18 bulan.
Dia dulunya ada sindrom lambat bercakap (speech delay) tetapi Yusof Mohamad Kamal Pakhrul Hisham dikurniakan keistimewaan luar biasa itu selepas sering diperdengarkan surah ketika ‘tantrum’.
Ibunya, Fazura Mohd Noor, 49, berkata dia tidak pernah meletakkan harapan tinggi kepada Yusof kerana menyedari kekurangan anak bongsu daripada dua beradik itu selepas disahkan menghidap autisme.
Jelasnya, ketika kecil Yusof lambat bercakap dan mengekspresikan emosinya melalui tantrum hingga berusia lebih tiga tahun.
“Pada awalnya kami memperdengarkan alunan ayat suci al-Quran ketika dia tantrum. Apabila dengar, Yusof akan lebih tenang dan dia mula ayat lazim pada usia empat tahun.
“Di sebalik kekurangannya yang lambat bercakap dan lambat berkembang, saya dapati dia mempunyai kelebihan daya ingatan yang kuat. Indahnya ciptaan Tuhan.
“Pada usia tiga tahun, Yusof mampu menghafal surah lazim hanya mendengar melalui radio atau televisyen,” lapor Berita Harian.
Menurut Fazura, selepas melihat kelebihan yang ada pada Yusof, dia dan suami Mohamad Kamal Pakhrul Hisham Ismail, 50, mengambil keputusan menghantar anaknya itu ke sekolah berteraskan pengajian al-Quran ketika berusia tujuh tahun.
“Saya memang tidak sangka Yusof boleh menghafaz 30 juzuk al-Quran secepat itu. Alhamdulillah, dengan izin Allah saya memang berterima kasih kepada ustaz yang tahu kekuatan yang ada pada Yusof,” tambah Fazura lagi.
Baca:
“Jangan main-main dengan darah rakyat Palestin”- Netizen berang live TikTok Da’i Syed
Padah enggan guna laluan motor, kereta pula ‘pancung’ dua lorong, patut JPJ pun berang
“Cukup-cukuplah berbohong dan play victim” bekas kekasih gelap mahu Beckham jujur