Realtime website trackingweb stats

‘Melancong’ di airport saja hangus RM7,000, pengalaman wanita ini tidaklah seindah drama Korea

Oleh ADINDA

Seorang wanita Malaysia dikenali sebagai Hazwani Amira, 29, ibarat hanya sempat ‘melancong’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan pada 11 Oktober lalu.

Entah apa sebabnya, Hazwani sendiri tertanya-tanya mengapa dia tidak dibenarkan masuk ke Korea Selatan sekaligus merencatkan perancangannya bercuti di negara K-pop itu.

Hazwani berkongsikan pengalaman buruknya berdepan pihak Imigresen di TikTok sehingga tular dan menuai perhatian warganet.

Ceritanya, detik hitam itu bermula apabila dia dan suami rakannya yang berbaris di lorong sama tiba di pemeriksaan pegawai imigresen.

“Seperti kelazimannya, pihak imigresen meminta dokumen yang diperlukan seperti pasport dan K-ETA (Kebenaran Kembara Elektronik Korea Selatan).

'Melancong' di airport saja hangus RM7,000, pengalaman wanita ini tidaklah seindah drama Korea

“Namun, tiba-tiba, pegawai itu bertanya kenapa pasport tiada sejarah perjalanan. Saya menjelaskan itu pasport yang dah diperbaharui.

“Dia minta pula yang lama, saya beritahu tak bawa. Tiket pulang dan tempahan hotel pun semua ada. Kiranya semua dokumen lengkap.

“Terus kami diminta ikut pegawai lain ke satu bilik untuk disoal siasat. Ketika itu rakan saya lepas.

“Namun berasakan sesuatu yang pelik berlaku dia pun datang untuk berjumpa kami. Akhirnya, dia pun turut disoal sama,” katanya.

Menurutnya, pegawai imigresen terbabit ada mencadangkan Hazwani dan dua rakannya itu menghubungi Kedutaan Malaysia di Korea bagaimana cara untuk memasuki negara itu, tapi tidak beritahu caranya.

“Selepas pelbagai usaha kami buat, akhirnya gagal. Pegawai yang ada di situ pun sangat tidak membantu.

“Kami kemudiannya ditempatkan bersama penumpang luar negara lain. Pasport kami pula dipegang mereka.

“Kami tidak diberikan apa-apa solusi melainkan dihantar pulang, nak berkomunikasi dengan pihak berkaitan pun mereka tak bantu,” keluhnya.

Beliau menganggap sekatan itu menjadi pengalaman terburuk dalam hidupnya sepanjang bercuti ke luar negara selain berasa trauma dengan apa yang terjadi.

“Ini perjalanan pertama saya ke negara itu, tapi tidak menjangka ia menjadi pengalaman terburuk saya. Tidak kesampaian nak berjalan di semua lokasi yang sudah diatur.

“Jujur cakap, selepas apa yang terjadi saya tak nak dah pergi sana. Saya menjadi takut dan trauma.

“Semasa menunggu penerbangan pulang, saya sempat rakam dan kongsi apa yang berlaku. Ramai yang mesej (DM) dan bertanya apa dokumen diperlukan.

“Macam kes saya ini, semuanya cukup cuma tak bernasib baik sebab dapat pegawai imigresen itu. Sebab kawan saya yang beratur di kaunter lain lepas pula. Saya dan suaminya saja yang sangkut,” katanya kepada Harian Metro.

Malah, sehingga sekarang Hazwani tidak tahu apa kesalahan dilakukannya dan akur dihantar pulang.

“Memandangkan kami berada di negara orang, jadi kena jaga tingkah laku dan adab, jaga nama negara kita juga.

“Bimbang pula mereka buat perkara lain, sebab dari awal mereka dah buat susah dan bermasalah,” katanya.

Hazwani yang sepatutnya pulang ke tanah air pada 18 Oktober ini berkata, dia menganggarkan kerugian dialami mencecah RM7,000.

Menurutnya, apa yang lebih menyedihkan adalah mereka ditahan seperti penjenayah termasuk pasport hanya diserahkan semula selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Baca:

Bakal jejak usia 40 tahun, rupanya Zizan cukup jaga pemakanan, target badan ‘sado’ tahun depan

Budak lelaki maut didera teman lelaki ibu, seluruh tubuh cedera teruk termasuk bahagian ‘itu’ amat mengejutkan

Projek penempatan manusia di bulan menjelang 2040, ini kemajuan NASA yang diketahui setakat ini