Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba Ahli Lembaga Pengarah MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini, 12 Oktober 2023.
Keputusan mendadak syarikat penerbangan tambang murah yang baru saja beroperasi pada 1 Disember 2022 itu buat ramai pelanggan terkejut. Mereka buntu dengan tiket penerbangan yang sudah awal ditempah.
Sehubungan itu, MYAirline dalam satu kenyataan menasihati penumpang yang terjejas supaya tidak ke lapangan terbang selain perlu mencari alternatif lain untuk ke destinasi mereka.
“Lembaga Pengarah, pemegang saham dan semua kakitangan MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa.
“Kami mengulangi permohonan maaf yang setulus-tulusnya atas sebarang kesulitan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk memaklumkan sebarang kemas kini sekiranya ada,” memetik kenyataan itu.
MYAirline juga memaklumkan pelanggan yang berdepan sebarang masalah boleh menghubungi [email protected] untuk mendapatkan bantuan sokongan.
Syarikat yang sebelum ini menawarkan lapan destinasi domestik dan satu penerbangan inter-city di Malaysia tersebut berkata, penggantungan operasi MYAirline akan berlanjutan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Tekanan kewangan jadi punca keputusan sukar itu terpaksa dilakukan oleh syarikat yang memperkenalkan kombinasi hoodie, seluar dan kasut sukan kasual sebagai pakaian seragam kru kabin mereka.
MYAirline yang sebelum ini dicanang sebagai syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang menggunakan prosess keseluruhan digital dalam perolehan Air Operator Certificate (AOC) dari Civil Aviation of Authority Malaysia (CAAM) itu juga menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat.
“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi.
“Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini.
“Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” menurut kenyataan itu lagi.
Baca:
Kesian Khairul Aming, sebaik-baik dia pun kena cop scammer, jahat betul orang yang buat tu
Guru sekolah agama kantoi bagi pinjam duit, minta habuan seks sebagai balasan