Realtime website trackingweb stats

Gah saja Hamid Gurkha dapat anugerah, anak pelawak veteran ini kongsi cerita susahnya tuntut hadiah RM10,000

Oleh AHMAD ISMAIL

Tidaklah mahu menuduh Astro tak nak bayar wang berjumlah RM10,000, tetapi keluarga Allahyarham Hamid Gurkha merayu agar wang bagi Anugerah Sepanjang Zaman MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) tahun lalu itu dipercepatkan prosesnya.

Itu yang disuarakan Nor Azian iaitu anak ketujuh pelawak yang terkenal dengan filem Sikit Punya Gila (1982) itu, selepas ayahnya diumum sebagai penerima anugerah tersebut dengan wang berjumlah RM10,000.

Sudah setahun keluarga berkenaan menanti tetapi mereka dihadapkan pula dengan bermacam-macam kerenah termasuk disuruh mengambil peguam!

Nor Azian memberitahu sebulan selepas pengumuman penerimaan anugerah dan wang itu, bapanya meninggal dunia pada 14 Jun tahun lalu.

Gah saja Hamid Gurkha dapat anugerah, anak pelawak veteran ini kongsi cerita susahnya tuntut hadiah RM10,000

“Sebenarnya selepas program itu berakhir, kami tunggu duit masuk tapi sehinggalah dia meninggal dunia pun tiada juga. Kami pun macam dah terlupa berkenaan duit itu.

“Kemudian emak ingatkan hal ini dan saya hubungi produksi AME2021 dan diberitahu wang itu ada, namun kami perlu berikan dokumen kematian dan sebagainya,” dipetik Harian Metro.

Oleh sebab itu, beliau kemudiannya berhubung dengan wakil produksi bernama Lala yang jelasnya, banyak membantu, termasuk menyerahkan dokumen berkaitan kepada Jabatan Kewangan dan Undang-Undang.

Namun, keluhnya, selepas itu mereka terbabit diam sahaja.

Untuk rekod, Hamid Gurkha atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman meninggal dunia pada usianya 91 tahun akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi penyakit yang lain.

Allahyarham yang juga dipanggil Pak Hamid pernah membawa pulang trofi Artis Komedi Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ketiga pada tahun 1982.

Sebelum kemerdekaan negara, Pak Hamid pernah menyertai pasukan tentera selama tujuh tahun bermula 1950.

Bercerita lanjut, Azian kemudiannya menghubungi semula pihak terbabit tetapi dimaklumkan wang terbabit kena difaraid kerana sudah menjadi pusaka.

“Saya tanya mereka apa perlu kami buat dan mereka kata mahukan surat. Sebenarnya kami dah berbincang adik-beradik dan bercadang nak beri wang ini sepenuhnya kepada emak sebagai tanda kasih sayang.

“Kami tak bercadang nak ambil duit itu dan buat surat kasih sayang mengatakan nak beri kepada emak. Selepas buat dan hantar, mereka diam juga.

“Kemudian Jabatan Undang-Undang beritahu Lala, dokumen ini tak diterima kerana tiada pengesahan mahkamah.

“Saya seterusnya rujuk kepada pejabat agama dan tanya apa yang perlu dibuat dalam tuntutan faraid,” katanya.

Bukanlah sukar

Nor Azian memberitahu, beliau diberitahu perkara tersebut bukanlah sukar kerana apabila semua adik-beradik sudah setuju dan buat surat, ia boleh diterima.

“Kemudian mereka sekali lagi kata kena ambil peguam pula. Bagi saya, takkan perkara ini nak kena guna peguam.

“Agak rumit nak bayar peguam lagi sedangkan wang yang dituntut cuma RM10,000. Kakitangan mahkamah yang kami jumpa pun tak galakkan kami guna peguam dan minta kami angkat sumpah.

“Saya dah ambil nama adik beradik, manakala kakak kedua uruskan angkat sumpah kerana yang sulung dah meninggal dunia. Jadi, dia uruskan hantar kepada mereka,” katanya.

Enggan berputus asa dengan sikap diam membisu pihak terbabit, Nor Azian menghubungi Lala semula minggu lalu.

“Saya masih tunggu keputusan ini sekarang. Kasihan dengan mak dan arwah bapa kerana perkara yang tak selesai ini.

“Emak sampai bertanya ada atau tiada? Kalau tiada cakaplah tiada, tak payahlah kita nak pening-pening.

“Emak dah lebih 80 tahun, jadi banyaklah dia fikir nak guna duit itu untuk buat kenduri dan sebagainya.

“Kami bukan nak doa, tapi berapa lama lagi dia nak hidup. Entah sempat atau tidak dia nak rasa duit itu. Kalau dia tiada lagi susah nak selesaikan benda ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, mereka sekeluarga

Menurutnya, sekiranya perlu menggunakan peguam, mereka akan melupakan saja perkara ini memandangkan tidak mempunyai cukup wang untuk membayar kos peguam.

“Kami akan anggap sagu hati yang nak diberikan itu hanya kata-kata. Ia macam tak ikhlas nak bagi,” keluhnya lagi.

Baca:

Pendera budak bukan saja pengasuh, mengejutkan rupanya ada 1,504 kes ibu bapa dera anak sendiri

Tak elok biar ‘unta’ hadiri Maulidur Rasul, ini 6 sebab mengapa sekolah mesti hentikan trend merepek

Rimas najis cicak merata di rumah? Cuba guna ‘senjata’ mudah ini, terbukti berkesan