Biasanya, pelanggan akan dikenakan caj jika mahu menambah apa-apa bahan dalam makanan yang ingin dibeli.
Namun, lain pula halnya yang berlaku di Singapura apabila seorang peniaga gerai mengenakan tambahan caj SG$0.50 (RM1.72) jika meminta tauge tidak dimasukkan ke dalam makanan.
Memetik laporan portal Asia One, pemberitahuan itu terpampang dalam notis yang ditampal di gerai yang menjual char kuetiau goreng, kek lobak merah dan telur dadar tiram.
Walau bagaimanapun, pengguna menganggap tindakan mengenakan caj tambahan untuk bahan yang tidak dimahukan dalam makanan sebagai keterlaluan.
Seorang penduduk tempatan, Steven Wong memberitahu dilapor melihat notis tersebut di sebuah gerai di Pusat Beli-belah Fajar.
Ia menyatakan: “Makanan laut tambahan pada harga SG$2 (RM6.88), telur tambahan untuk SG$1 (RM3.44) dan tauge tambahan sebanyak 50 sen”.
Apa yang ketara adalah entri terakhir menunjukkan caj tambahan 50 sen dikenakan jika pelanggan meminta tiada tauge dalam makanan mereka.
“Ini tidak masuk akal,” katanya.
Tegas Wong lagi, dia tidak akan mengunjungi kedai tersebut.
Dia juga menegaskan bahawa hampir setiap premis makanan di pusat penjaja itu tidak akan meletakkan tauge jika diminta, tanpa mengenakan caj tambahan.
Baca:
Pasangan bercerai gara-gara cemburu beli iPhone 15 Pro Max, siap ugut saman isteri sendiri