Walaupun hasil penyelidikan saintifik dari Universiti Stanford ini nampak ‘merepek’ tetapi baru ramai tahu bahawa dubur mempunyai sehingga 37 lipatan yang unik macam cap jari.
Tidak hairanlah tandas pintar ciptaan penyelidik dari universiti itu menang Hadiah Ig Nobel.
Hadiah itu adalah anugerah satira yang diadakan setiap tahun sejak 1991 untuk meraikan 10 pencapaian remeh yang luar biasa dalam penyelidikan saintifik.
Peranti tandas pintar itu menggunakan pelbagai peningkatan teknologi pada tandas standard termasuk jalur ujian urinalisis dan sistem komputer untuk analisis pembuangan air besar.
Malah, lapor portal La Voce di New York, ada juga sensor cetakan punggung yang dipasangkan dengan kamera pengenalan diri (ID) dan pautan telekomunikasi untuk memantau dan menganalisis najis.
“Idea untuk cap dubur mendapati bahawa dubur mempunyai 35 atau 37 lipatan, yang unik seperti cap jari,” kata penyelidik.
Seung-min Park, menerusi catatan blog berkata, peranti prototaip boleh dipasang menggunakan Raspberry Pi yang dipasangkan dengan kamera untuk menangkap cap dubur unik setiap orang semasa mereka duduk di mangkuk tandas.
Namun, jangan terkejut dengan harga ‘tandas kayangan’ itu. Park berkata, teknologi itu boleh menelan kos antara AS$300 (kira-kira RM1,407) hingga AS$600 (kira-kira RM2,814) apabila ia akhirnya dihasilkan.
Jangan keliru dengan Hadiah Nobel. Ig Nobel ini hanya parodi bagi Hadiah Nobel bagi menghormati pencapaian yang pada mulanya membuat orang ketawa, tetapi kemudian membuat mereka berfikir.
Yang menariknya lagi, majlis anugerah itu menampilkan opera mini dan demonstrasi saintifik.
Siaplah juga menadah telinga untuk kuliah 24 jam. Sebabnya, ada sesi pakar menerangkan kerja mereka menerusi dua sesi.
Acara itu yang diadakan secara talian, baru-baru ini, menampilkan 10 pencapaian remeh dalam penyelidikan saintifik.
Tidak kurang kreatifnya, hadiah Ig Nobel itu hanya dalam bentuk dokumen PDF yang boleh dicetak dan dipasang untuk mencipta trofi tiga dimensi.
Baca:
Penjawat awam bakal nikmati kenaikan gaji dan bonus, besar juga jumlah yang Ceupacs cadang
Pulih sepenuhnya kanser tahap 4, pengalaman remaja hafaz al-Quran ini mengagumkan
Muka macam Sudirman, ramai kagum, penampilan penyanyi ini mengubat rindu rakyat Malaysia