Boleh pula selamba berbual riang, sikap pasangan tak bayar lebih RM800 mengejutkan.
Pekerja sebuah restoran makanan laut di Outram Road masih mencari seorang lelaki dan seorang wanita yang tidak membayar wang SG$245.60 (RM845.60) selepas makan di premisnya pada 25 Ogos lalu.
Pekerja restoran itu berkata, sepasang suami isteri berusia dalam lingkungan 40-an memasuki permis makanan itu menjelang waktu penutupan.
Mereka memesan hidangan istimewa seperti ikan kukus Hong Kong, bayam tiga telur, ayam kukus, nasi dan dua minuman di samping ikan sebelah seberat lebih 1 kilogram.
“Cef menyediakan makanan untuk mereka pada saat-saat akhir. Seorang lagi pekerja dan saya juga terpaksa melakukan kerja lebih masa disebabkan mereka.”
Selepas makan hampir sejam, pasangan itu meminta untuk membawa balik makanan kerana mereka tidak dapat menghabiskannya.
Pekerja itu menceritakan: “Saya fikir pasangan itu sudah membuat bayaran. Saya meletakkan kotak bawa pulang di atas meja. Pasangan itu mengambil makanan dan beredar dengan menaiki teksi kuning.”
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang wanita berbaju hitam dan seorang lelaki berbaju putih duduk di meja luar restoran, berbual riang dan kelihatan tenang.
Pekerja itu juga berkata, dia terpaksa membayar bil pasangan tersebut menggunakan duit poketnya sendiri dan berharap mereka boleh kembali untuk membayar balik wang itu secepat mungkin namun kelibat lelaki dan perempuan berkenaan masih tidak kelihatan.