Dulu ingat 2 marhalah 90 kilometer baru boleh solat jamak, rupanya ini jarak sebenar, dekat je.
Jabatan Mufti Johor mengesahkan bahawa syarat sah untuk menunaikan ibadah solat jamak dan qasar serta hukum-hukum fiqh lain yang memberi keringanan atau rukhsah adalah sejauh 81 kilometer.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, perkara tersebut telah ditetapkan sejak 25 April tahun lalu.
“Saya difahamkan sedang tular pernyataan tentang kadar terkini jarak marhalah bagi membolehkan rukhsah solat dilaksanakan di negeri Johor.
“Suka saya menjelaskan bahawa ketetapan jarak marhalah tersebut telah pun mula dilaksanakan bagi negeri Johor sejak 25 April 2022 lagi berdasarkan Fatwa Negeri Johor. Bermakna ia bukanlah terkini.
“Keputusan itu selaras dengan keputusan jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-118 bertarikh 16-17 Februari 2021,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, ketetapan berkenaan diputuskan selepas melihat dan membahaskan persoalan tersebut dengan teliti daripada pelbagai sudut.
“Adalah ditetapkan bahawa penentuan kadar dua marhalah bagi para musafir untuk menunaikan ibadah solat jamak dan qasar serta hukum-hukum fiqh lain yang memberi keringanan (rukhsah) adalah 81 kilometer,” tambahnya.
Sebelum ini tular kenyataan berkenaan fatwa terkini qasar solat di negeri ini sehingga mengelirukan orang ramai yang menyangka itu merupakan ketetapan terbaharu kerajaan negeri.